Sunday, July 19, 2026

KPT jamin kebajikan 54 pelajar Malaysia di Harvard terpelihara

Setakat ini 16 pelajar Malaysia tajaan dan 38 pelajar pembiayaan sendiri di Universiti Havard tiada sebarang masalah berkaitan status visa atau rekod SEVIS dilaporkan berlaku.

Mesti Baca

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan bahawa kebajikan pelajar Malaysia di Universiti Harvard, Amerika Syarikat (AS) sentiasa menjadi keutamaan susulan isu pembatalan pensijilan di bawah Program Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVP) oleh kerajaan negara baru-baru ini.

KPT dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memantau rapat perkembangan isu berkenaan menerusi Pejabat Education Malaysia Washington D.C. (EMWDC) dan telah mengadakan perbincangan dengan pihak penaja serta pihak berkuasa pendidikan di AS.

Menurut kenyataan itu, setakat ini seramai 54 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian di Universiti Harvard, terdiri daripada 16 pelajar tajaan dan 38 pelajar pembiayaan sendiri, dan tiada sebarang masalah berkaitan status visa atau rekod Sistem Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVIS) dilaporkan berlaku.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan AS yang mengekalkan Perintah Tahanan Sementara (TRO) yang difailkan oleh pihak Universiti Harvard memberikan kelegaan kepada lebih 6,800 pelajar antarabangsa, termasuk dari Malaysia,” kata kenyataan itu hari ini.

TRO tersebut membenarkan pelajar antarabangsa meneruskan pengajian mereka tanpa gangguan terhadap status visa buat masa ini, sementara menunggu keputusan muktamad mengenai isu pembatalan pensijilan SEVP oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) AS.

KPT turut mengingatkan para pelajar untuk sentiasa berhati-hati dalam menguruskan urusan imigresen serta memastikan maklumat berkaitan Latihan Praktikal Pilihan (OPT) sentiasa dikemaskini bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Bagi pelajar baharu yang dijadualkan mendaftar pada sesi pengajian September 2025, KPT menyarankan agar mereka berhubung secara terus dengan pihak universiti dan penaja masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini sebelum mengambil sebarang keputusan lanjut.

Dalam pada itu, KPT menegaskan komitmennya untuk terus mendukung dan melindungi pelajar Malaysia di luar negara, sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kepentingan nilai kemanusiaan, kesejahteraan, dan tanggungjawab bersama.

“Malaysia percaya bahawa pendidikan tinggi rentas sempadan merupakan asas penting dalam pembangunan bakat global, pertukaran ilmu dan kerjasama strategik antara negara,” menurut kenyataan tersebut lagi.

KPT turut menyeru semua pihak agar kekal tenang dan tidak terpengaruh dengan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan pelajar. – Edisi 9

Terkini

Layan ‘final’ Piala Dunia dan Semarak Subuh bersama TPM

PASUKAN mana pilihan anda dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026, awal pagi ini? Sepanyol atau Argentina? Para peminat bola sepak,...

Lagi Artikel Berkaitan