PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay untuk menyemak isu larangan ke luar negara yang dikenakan terhadap aktivis, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Kerajaan Madani menjunjung tinggi kebebasan individu selagi mana ia tidak menjejaskan keselamatan negara atau melanggar undang-undang sedia ada.
“Oleh itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara ini.
“Pejabat Perdana Menteri akan terus memantau perkembangan ini dengan sewajarnya,” kata kenyataan itu hari ini.
Semalam, Fahmi Reza mendakwa dia tidak dibenarkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Singapura oleh pegawai Jabatan Imigresen Malaysia.
Dia dimaklumkan Bukit Aman tidak memberikan kebenaran untuknya ke luar negara atas sebab-sebab yang tidak diketahui.
Katanya, minggu lalu dia telah dihalang memasuki Sabah kerana mengkritik pelantikan Tan Sri Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri itu.
“Minggu lepas aku kena blacklist (senarai hitam), dihalang masuk Sabah. Minggu ni aku kena blacklist lagi, dihalang ke luar negara.
“Terima kasih Bukit Aman dan Kerajaan Madani untuk hadiah hari jadi yang aku tak akan lupakan,” katanya menerusi Facebook beliau semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan, tiada sekatan rasmi dikeluarkan ke atas Fahmi Reza.
Walau bagaimanapun, kata beliau, nama Fahmi dimasukkan dalam senarai pemantauan pergerakan bagi tujuan rekod dan rujukan dalaman pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan siasatan kes melibatkannya masih dijalankan.
“Namun harus ditegaskan bahawa senarai knk tidak membawa maksud sekatan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada prosedur pemantauan yang lazin dilaksanakan pihak berkuasa.
“Berikutan itu, terdapat kekeliruan semasa proses semakan di pintu keluar negara pada 7 Jun 2025, yang telah menyebabkan arahan sekatan pergerakan dikeluarkan secara tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan.
Razarudin berkata, situasai tersebut sedang diteliti dan langkah sewajarnya akan diambil bagi memperkemas prosedur sedia ada. – Edisi 9

