GARA-GARA mengeluarkan arahan serbuan ke atas sebuah kelab malam pada waktu siang, pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan disyor dirujuk kepada pihak berkuasa tatatertib (PBT) untuk dikenakan hukuman.
Syor itu dikemukakan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguuatkuasaan (EAIC) yang mendapati pengarah terbabit gagal memberi arahan yang tepat kepada pegawai AADK berhubung satu operasi serbuan ke atas sebuah kelab malam di negeri itu.
EAIC dalam satu kenyataan berkata, pengarah terbabit dikatakan telah mengeluarkan arahan untuk menjalankan operasi serbuan tersebut pada waktu siang sedangkan aduan yang diterima daripada pengadu berkaitan aktiviti jenayah berlaku pada waktu malam.
“Operasi serbuan ke atas kelab malam tersebut juga dikatakan dilakukan tanpa mendapatkan kebenaran dan kelulusan khas Pengarah Penguatkuasaan, Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan Ibu Pejabat AADK,” kata kenyataan itu hari ini.
EAIC berkata, siasatan mendapati pengarah terbabit telah gagal memberi arahan yang tepat kepada pegawai AADK.
Dia juga didapati ingkar perintah kerana tidak mendapatkan kebenaran dan kelulusan khas Pengarah Penguatkuasaan sebagaimana yang dinyatakan dalam Garis Panduan Pelaksanaan Operasi Penguatkuasaan: Operasi Tempat Hiburan.
Sementara itu Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh dalam kenyataan berasingan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera terhadap laporan siasatan tersebut.
Beliau berkata, AADK tidak sesekali berkompromi atau melindungi mana-mana kakitangan yang
terlibat dengan salah laku dan pelanggaran integriti.
“Sehubungan itu, AADK sentiasa mengingatkan kepada semua kakitangan untuk melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan berdasarkan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS),”katanya.
Ruslin berkata, sebagai sebuah agensi penguatkuasa, AADK akan terus bekerjasama erat dengan EAIC dalam usaha peningkatan tadbir urus yang baik dalam agensi khususnya yang melibatkan siasatan terhadap sebarang aduan salah laku dan integriti dalam kalangan kakitangan AADK. – Edisi 9

