Wednesday, July 22, 2026

Zahid arah ambil tindakan tegas banteras vape ‘mushroom’

Vape tersebut mengandungi bahan psikoaktif seperti psilocybin dan psilocin yang berisiko tinggi menyebabkan halusinasi serta gangguan mental, khususnya dalam kalangan belia dan kanak-kanak.

Mesti Baca

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan pihak berkuasa agar segera mengambil tindakan tegas terhadap ancaman penggunaan vape mushroom yang kini semakin membimbangkan.

Menurut beliau, vape tersebut mengandungi bahan psikoaktif seperti psilocybin dan psilocin yang berisiko tinggi menyebabkan halusinasi serta gangguan mental, khususnya dalam kalangan belia dan kanak-kanak.

“Saya telah arahkan supaya tindakan tegas segera diambil, tanpa kompromi untuk membanteras perkara ini,” katanya menerusi media sosialnya hari ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bil. 1 Tahun 2025.

Zahid berkata, isu penyalahgunaan dadah kini berada pada tahap yang sangat membimbangkan dan telah menjadi ancaman besar kepada struktur sosial, keselamatan awam, serta kestabilan ekonomi negara.

Katanya, mesyuarat tersebut diadakan bagi memastikan pendekatan menyeluruh, strategik dan tegas diambil dalam membanteras gejala dadah yang menjadi acncaman nombor satu negara.

Sehubungan itu, katanya, mesyuarat telah meluluskan Pelan Komunikasi Antidadah 2025–2027, sebuah pelan strategik yang menumpukan kepada perubahan sikap, peningkatan kesedaran dan penyampaian maklumat yang tepat melalui sinergi pelbagai agensi ke arah gerakan nasional melawan dadah secara kolektif.

Beliau berkata, mesyuarat juga telah bersetuju untuk memperkukuh aspek pengesanan dan rawatan menerusi Analisis Rangkaian Data Jenayah serta pelaksanaan Pusat Penilaian Dadah (DAC) oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menggunakan pendekatan Single Point Entry.

“Kita tidak boleh menang perang ini secara bersendirian. Justeru, saya menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pemimpin komuniti, NGO, pemuda-pemudi agar kita bersatu.

“Jika kita mahu masa depan negara ini bebas daripada ancaman dadah, maka perjuangan ini mesti menjadi perjuangan kita bersama,”katanya.

Tegas Zahid, kerajaan tidak akan berganjak walau seinci pun dalam memerangi dadah demi melindungi generasi pewaris negara dan berharap agar usaha ini dipermudahkan oleh Allah SWT. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan