Tuesday, July 21, 2026

TH raih anugerah tertinggi pengurusan haji Labaytum 2025

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sifatkan pencapaian itu sebagai bukti bahawa Malaysia kini menjadi penanda aras dalam pengurusan hal ehwal haji dunia.

Mesti Baca

LEMBAGA Tabung Haji (TH) sekali lagi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila berjaya merangkul Anugerah Berlian, iaitu pengiktirafan tertinggi dalam Anugerah Labaytum 2025, hasil kecemerlangan dalam pengurusan jemaah haji bagi musim 1446 Hijrah/2025 Masihi.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi semasa Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji dan Umrah yang berlangsung di Mekah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti bahawa Malaysia kini menjadi penanda aras dalam pengurusan hal ehwal haji dunia.

“Kami amat berbangga dan berterima kasih kepada seluruh warga TH yang menunjukkan dedikasi tinggi dalam memastikan kelancaran operasi haji tahun ini. Pencapaian ini meletakkan Malaysia di tempat yang sangat dihormati di mata dunia Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan komitmen TH terhadap amalan pengurusan terbaik serta inovasi berterusan demi menjaga kebajikan jemaah Malaysia.

“TH sangat berbesar hati menerima anugerah ini. Kami akan terus berusaha menambah baik mutu perkhidmatan pada masa akan datang,” katanya.

Menurut TH, penilaian untuk Anugerah Berlian meliputi pelbagai aspek termasuk pengurusan operasi, teknologi, kesihatan, logistik, bimbingan ibadah serta tahap kepuasan jemaah yang mencapai lebih 95 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Urusan TH, Mustakim Mohamad berkata, kejayaan tersebut adalah hasil sinergi antara pelbagai agensi serta sokongan berterusan daripada kerajaan Arab Saudi.

“Kami sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan, keselesaan dan kebajikan jemaah. TH menggalas amanah besar ini dengan penuh tanggungjawab,” ujarnya.

Untuk rekod, TH sebelum ini telah memenangi Anugerah Labaytum selama dua tahun berturut-turut.

Pada 2023, TH meraih dua anugerah iaitu dalam kategori Perkhidmatan Terbaik bagi Pejabat Hal Ehwal Haji dan Program Bimbingan Haji Terbaik manakala tahun lalu TH menerima anugerah bagi Perkhidmatan Terbaik Pejabat Hal Ehwal Haji.

Dengan pencapaian terbaharu ini, Malaysia terus mengekalkan reputasi cemerlang sebagai antara negara terbaik dalam pengurusan jemaah haji. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan