Saturday, June 13, 2026

Keputusan kes SIS cetuskan keresahan umat Islam – Amidi

Isu itu juga boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap kemampuan sistem perundangan negara untuk mempertahankan kedaulatan dan martabat undang-undang Islam.

Mesti Baca

KEPUTUSAN mahkamah yang melibatkan pemakaian fatwa terhadap sebuah pertubuhan berdaftar semalam disifatkan sebagai detik yang mengundang keresahan umat Islam di negara ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amidi Abdul Manan berkata, keputusan tersebut tidak menolak keseluruhan fatwa yang dikeluarkan, namun memberi isyarat bahawa kedudukan fatwa sebagai sumber rujukan penting dalam perundangan Islam kini semakin terancam.

“Pertikaian antara bidang kuasa undang-undang syariah dan sivil bukan perkara baharu. Namun selagi ia tidak ditangani secara tuntas, keresahan umat Islam akan berpanjangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amidi berkata, isu itu juga boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap kemampuan sistem perundangan negara untuk mempertahankan kedaulatan dan martabat undang-undang Islam.

Tambah beliau, langkah proaktif mesti diambil segera untuk menamatkan polemik ini, termasuk melibatkan perbincangan terbuka antara institusi kehakiman dan Majlis Raja-Raja Melayu.

“Ketua Hakim Negara seharusnya melihat ruang keterbukaan Majlis Raja-Raja sebagai medan untuk membina persefahaman serta mengelakkan salah tafsir terhadap kedudukan undang-undang syariah dalam Perlembagaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Amidi menyifatkan pelantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara pada tahun 2019 dahulu sebagai peluang yang seharusnya digunakan untuk memperkukuhkan hubungan antara sistem perundangan sivil dan syariah.

“Malangnya, hingga ke akhir perkhidmatan beliau, keresahan umat Islam terus berlarutan tanpa penyelesaian menyeluruh,” katanya.

Justeru itu, beliau menyembah cadang kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar melantik individu yang benar-benar memahami keperluan untuk mengharmonikan kedua-dua sistem perundangan dalam negara.

Semalam, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa fatwa yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat adalah sah, namun hanya terpakai terhadap individu yang menganut agama Islam dan bukan terhadap pertubuhan seperti SIS Forum (Malaysia).

Keputusan itu dibuat panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Abu Bakar Jais dan Tan Sri Abdul Karim Abdul Jalil.

Tengku Maimun berkata, tafsiran frasa ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan hanya boleh merujuk kepada manusia sebenar (natural persons), dan bukannya syarikat, pertubuhan atau entiti buatan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekecewaan dan dukacita dengan sebahagian keputusan tersebut dan menegaskan, penyalahgunaan perkataan “Islam” dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.

Sehubungan itu baginda menggesa SIS tidak lagi menggunakan perkataan “Sisters in Islam” ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka supaya perkataan “Islam” tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan