BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana RM27 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim K. Muniandy selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan yang diketuai peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang berhujah bahawa kes berkenaan telah tertangguh selama lebih enam tahun tanpa sebarang saksi dikemukakan.
“Tertuduh dilepas daripada semua pertuduhan dan diperintahkan DNAA. Pendakwaan masih boleh meneruskan kes ini jika bersedia kelak,” kata Hakim Muniandy dalam keputusannya seperti dilapor Bernama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul manakala Najib, 72, hadir di mahkamah hari ini.
Najib pertama kali didakwa pada 3 Februari 2019 atas tiga pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM27 juta menerusi tiga akaun AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda maksimum RM5 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Namun, menurut hakim, kes tersebut belum menunjukkan sebarang perkembangan substantif sejak 2019.
“Penantian terlalu lama untuk perbicaraan ini menjadi suatu beban berpanjangan bagi tertuduh dan menafikan haknya untuk mendapat penyelesaian sewajarnya dan tepat pada masanya,” jelas Muniandy.
Pihak pendakwaan memaklumkan bahawa mereka masih belum memperoleh dokumen-dokumen penting dan memerlukan masa tambahan untuk menyediakan penyataan saksi.
Namun, Mahkamah berpendapat penangguhan berpanjangan itu tidak adil kepada tertuduh.
“Berdasarkan faktor ini, perintah paling wajar adalah untuk mahkamah ini melepaskan tertuduh tanpa membebaskannya,” ujar hakim.
Dalam pada itu, Shafee berkata Najib menyambut baik keputusan mahkamah dan kini dapat memberi tumpuan penuh kepada kes berkaitan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International dalam kes lain.
Pada 2 September 2022, beliau memfailkan petisyen pengampunan diraja.
Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024 kemudiannya memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – Edisi 9

