Thursday, June 4, 2026

Enakmen Jenayah Syariah undang-undang yang mendidik

Bentuk hukuman takzir yang digubal oleh pihak berautoriti (ulil amri) berpandukan prinsip-prinsip syariah dan masih dalam ruang lingkup bidang kuasa yang dibenarkan...

Mesti Baca

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan
meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya.

Semoga kita semua diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Para jemaah diingatkan supaya jangan bermain dengan telefon bimbit ketika khutbah disampaikan.

Pada hari yang mulia ini khatib akan membicarakan khutbah bertajuk Enakmen Jenayah Syariah: Undang-undang Yang Mendidik.

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Undang-undang Syariah merujuk kepada satu cabang perundangan Islam yang berkaitan dengan perlakuan jenayah dan hukuman terhadap kesalahan tertentu.

Sepertimana yang dibahaskan dalam kitab-kitab fiqh al-Jinayat, antara jenis hukuman yang telah ditetapkan oleh Syariat adalah hukuman hudud yang melibatkan kes-kes jenayah seperti zina, mencuri, minum arak, qazaf iaitu tuduhan zina tanpa 4 orang saksi lelaki, murtad dan hirabah iaitu jenayah merampas harta orang lain sama ada menggunakan kekerasan atau ugutan secara individu atau berkumpulan.

Selain daripada hukuman hudud, terdapat juga hukuman berbentuk qisas, iaitu hukuman balas terhadap jenayah yang melibatkan nyawa dan kecederaan anggota badan.

Dalam kes sekiranya pengampunan diberikan oleh waris mangsa, maka pelaku akan dikenakan diyat, iaitu bayaran pampasan yang ditetapkan.

Di samping itu, terdapat juga hukuman takzir, iaitu hukuman yang ditentukan oleh pihak pemerintah terhadap kesalahankesalahan yang tidak termasuk dalam kategori hudud dan qisas.

Hukuman ini tidak ditetapkan secara khusus oleh nas, tetapi diserahkan kepada kebijaksanaan pemerintah berdasarkan tahap keseriusan kesalahan dan maslahat umum masyarakat.

Hadirin Jumaat yang dimuliakan,

Di Malaysia, Undang-Undang Syariah dilaksanakan dalam bentuk Enakmen Jenayah Syariah di peringkat negeri-negeri.

Enakmen Jenayah Syariah ini merupakan bentuk hukuman takzir yang digubal oleh pihak berautoriti (ulil amri) berpandukan prinsip-prinsip syariah dan masih dalam ruang lingkup bidang kuasa yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Berbeza dengan hudud dan qisas yang mempunyai had dan bentuk hukuman yang tetap sebagaimana digariskan oleh nas syarak, undang-undang syariah yang diamalkan pada hari ini lebih menumpukan kepada pelaksanaan hukuman takzir.

Undang-undang ini bersifat fleksibel dalam menentukan jenis dan kadar hukuman terhadap sesuatu kesalahan, tanpa menyalahi mana-mana prinsip asas syariah.

Antara contoh kesalahan takzir yang diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah termasuklah mendakwa diri atau orang lain sebagai nabi, rasul, Imam Mahdi atau wali, menghina agama Islam atau mencemarkan kesucian agama, minum minuman yang memabukkan, melakukan persetubuhan luar nikah, berkhalwat, dan pelbagai lagi kesalahan lain yang berkaitan dengan pelanggaran akhlak dan adab syarie.

Kesemua bentuk kesalahan ini diberi perhatian dalam undang-undang syariah sebagai langkah pencegahan sosial dan pembinaan masyarakat Islam yang berakhlak dan bermaruah.

Maka jelaslah bahawa pelaksanaan undang-undang ini bukanlah bertujuan menghukum semata-mata, tetapi ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab ulil amri dalam menjaga lima perkara utama yang dituntut syariah iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Moga dengan wujudnya Enakmen Jenayah Syariah ini selari dengan hikmah diutuskan Rasulullah SAW, iaitu untuk menyempurnakan akhlak manusia dan membimbing mereka keluar daripada kegelapan jahiliyyah yang penuh dengan kezaliman dan penindasan.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik”. (Riwayat Ahmad).

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT,

Di Negeri Selangor, penggubalan Enakmen Jenayah Syariah 1995 menjadi bukti nyata komitmen pelaksanaan syariat Islam yang berasaskan lima prinsip maqasid syariah seperti yang telah disebutkan tadi.

Kelima-lima prinsip ini bukan hanya menjadi tonggak perundangan, malah berperanan sebagai kerangka penting dalam memastikan syariat Islam berfungsi untuk melindungi hak, maruah dan kehormatan insan yang disebut sebagai karamah insaniyyah.

Mari kita lihat bagaimana prinsip-prinsip ini diterapkan dalam peruntukan Enakmen Jenayah Syariah yang telah digubal.

Pertama, dalam usaha menjaga agama, Seksyen 8 enakmen ini memperuntukkan hukuman terhadap perbuatan mendakwa diri atau orang
lain sebagai nabi, rasul, Imam Mahdi atau wali.

Ini bukan perkara remeh! Ia membuka ruang kepada ajaran sesat, memesongkan akidah umat, dan mengelirukan masyarakat.

Kedua, dalam memelihara kehormatan agama dan maruah umat Islam, Seksyen 10 memperuntukkan tindakan terhadap perbuatan menghina Islam atau memperlekehkan kesuciannya.

Perbuatan mencela agama sama ada secara terbuka atau sindiran halus adalah racun yang mampu menggugat keharmonian dan menimbulkan keresahan masyarakat awam. Justeru, langkah penguatkuasaan ini amat penting bagi mengekang fitnah dan memelihara kesatuan umat.

Ketiga, dalam usaha menjaga akal fikiran, Seksyen 18 memperuntukkan larangan terhadap pengambilan arak dan bahan memabukkan.

Sidang jemaah sekalian, bahan-bahan ini bukan hanya menghilangkan kewarasan individu bahkan boleh membawa kepada keruntuhan institusi keluarga dan menjadi punca kepada pelbagai jenayah yang menggugat ketenteraman awam.

Keempat, demi memelihara keturunan dan memartabatkan institusi keluarga, Seksyen 25 dan 29 enakmen ini memperuntukkan hukuman
terhadap kesalahan zina dan khalwat.

Kini, gejala sosial semakin membimbangkan, terdapat peningkatan kes anak tidak sah taraf dan kes-kes melibatkan konflik rumah tangga.

Inilah kesan buruk apabila batas pergaulan tidak dijaga sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk (yang membawa
kerosakan)”.

Kelima, bagi memelihara harta, Seksyen 17 enakmen ini memperuntukkan larangan terhadap perbuatan berjudi.

Kita semua sedia maklum, judi bukan sekadar permainan untung nasib, tetapi satu permainan yang menanam sifat tamak haloba serta mendorong kepada ketagihan dan jenayah.

Dalam Islam, harta adalah amanah yang mesti diuruskan dengan penuh tanggungjawab, bukan dijadikan alat untuk memenuhi kehendak nafsu dan keseronokan yang bercanggah dengan syariat.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, sesungguhnya meminum arak, berjudi, pemujaan berhala dan menilik nasib dengan anak panah adalah (semuanya) perbuatan kotor (keji) daripada perbuatan syaitan! Maka, jauhilah (semua perbuatan) itu agar kamu berjaya”.

Hadirin Jumaat yang Berbahagia,

Syariat Islam tidak hanya bicara tentang hudud, qisas dan takzir secara teori tetapi ia juga diterjemahkan melalui tarbiyah yang berterusan
dan disokong dengan pelaksanaan undang-undang yang berkuat kuasa dalam konteks negeri-negeri pada hari ini.

Walaupun pelaksanaan hukum hudud dan qisas masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya disebabkan kekangan perundangan dan faktor-faktor lain yang lebih utama untuk diberikan perhatian, janganlah kita lalai untuk melaksanakan apa yang mampu kita laksanakan.

Ada satu kaedah menyebutkan:

“Apa yang tidak mampu untuk dilakukan kesemuanya, janganlah ditinggalkan kesemuanya atau sebahagian besar daripadanya (yang mampu dilakukan).”

Justeru, kewujudan Enakmen Jenayah Syariah ini adalah usaha serius daripada institusi-institusi Agama, khususnya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor bagi memelihara akhlak, akidah dan kesejahteraan masyarakat.

Ia bukan undang-undang yang membelenggu, tetapi sebenarnya ia undang-undang yang membela dan mendidik. Sebagai orang Islam kita hendaklah memelihara, menghormati dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh ulil amri ini.

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran untuk dijadikan pedoman dan panduan dalam hidup kita iaitu:

  1. Umat Islam hendaklah memahami intipati yang terkandung dalam Enakmen Jenayah Syariah sebagai satu usaha pemerkasaan syariat secara berperingkat dalam konteks perundangan negara.
  2. Umat Islam hendaklah yakin bahawa tarbiyah yang berterusan disokong dengan pelaksanaan undang-undang mampu membina umat yang berdisiplin, berakhlak mulia dan terpelihara daripada kerosakan sosial.
  3. Umat Islam hendaklah berusaha memelihara diri, ahli keluarga dan masyarakat daripada melakukan perkara-perkara yang bercanggah
    dengan syariat.

“Wahai Daud, sesungguhnya Kami jadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukuman kepada manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu)! Dan janganlah pula kamu mengikut hawa nafsu kerana hal itu akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat daripada jalan Allah SWT akan mendapat azab yang berat pada hari perhitungan disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu”. (Surah Sad: 26).


Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor, 20 Jun 2025

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan