Tuesday, July 21, 2026

70,000 penduduk luar bandar nikmati elektrik biogas Felcra

Mesti Baca

KIRA-KIRA 70,000 penduduk luar bandar atau 14,000 rumah bakal menikmati bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi menerusi janakuasa yang dihasilkan daripada sisa kelapa sawit oleh Felcra Berhad.

Pembinaan Projek Loji Janakuasa Biogas (Efluen Sawit) Grid Bersambung Terbesar di Malaysia yang dibangunkan di Kilang Sawit Felcra Jayaputra di Jerantut, Pahang itu mampu menjana tenaga elektrik dengan kapasiti 5.5 megawatt (Mw).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, melihat inisiatif yang dibangunkan oleh Felcra bersama-sama rakan strategik mereka sebagai usaha terbaik yang mampu memberikan peluang peningkatan kualiti hidup masyarakat luar bandar.

“Inisiatif ini bertepatan dengan Aspirasi Desa Madani yang diperkenalkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Loji Janakuasa Biogas 5.5MW Cenergi-CJP di Jerantut, hari ini.

Loji janakuasa biogas itu hasil kerjasama strategik antara Felcra Berhad, Felcra Jayaputra Sdn Bhd dan Cenergi SEA Berhad (Cenergi) iaitu anak syarikat UEM Group Berhad.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakop; Pengerusi Felcra Jayaputra, Datuk Mohd Nizar Zakaria dan Pengerusi Cenergi SEA Berhad Datuk Mohd Izani Ghani.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bagi mencapai aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam tempoh lima hingga lapan tahun akan datang, keperluan bekalan tenaga elektrik yang stabil dan konsisten memainkan peranan yang penting dalam proses pembangunan, pertumbuhan, perindustrian dan perbandaran.

Pada masa yang sama, beliau turut menggalakkan agensi kerajaan untuk memperkasakan kerjasama strategik dengan syarikat swasta yang berpotensi.

Ini katanya, bagi mengukuhkan kemampuan syarikat serta mengembangkan akses kepada kepakaran dan pemindahan teknologi yang dapat memberikan manfaat kepada semua pihak. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan