KERAJAAN Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Meta menurunkan bahan yang dimuat naik oleh media tertentu ke media sosial berhubung pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas di Qatar semalam.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, bahan tersebut dimuat naik oleh dua media massa tempatan Malaysiakini dan Sinar Harian ke media sosial yang dimiliki oleh syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat itu.
Lebih malang, kata beliau, sebuah portal berita, akaun Malaysia Gazette dinyah aktif sehingga terpaksa membuka akaun baharu hanya kerana menaikkan footage berkaitan Palestin bulan lepas.
“Saya kecam sekeras-kerasnya tindakan ini dan meminta penjelasan daripada pihak Meta.
“Saya juga akan membangkitkan isu ini bila bertemu dengan platform-platform media sosial pada bulan Jun nanti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Fahmi berkata, ini bukan kali pertama perkara itu berlaku kerana sebelum ini program di Axiata membabitkan Perdana Menteri pernah berdepan situasi sama.
Meta merupakan syarikat milik Mark Zuckerberg yang mengendalikan media sosial popular di dunia antaranya Facebook, Instagram dan Whatsapp.
Semalam, Perdana Menteri mengambil kesempatan daripada lawatan rasmi beliau ke Qatar untuk bertemu Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.
Pertemuan tertutup empat mata antara dua pemimpin di sebuah hotel di Doha itu dengan inti pati pertemuan bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai konflik di Asia Barat, khususnya membabitkan Hamas dan Israel di Palestin. – Edisi 9

