PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar menanam 100 pokok baharu bagi setiap satu pokok yang ditebang.
Menurut Perdana Menteri, arahan itu telah diberikan beliau kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh.
“Saya telah memberi arahan kepada Dato Bandar iaitu bagi setiap pohon yang terpaksa dipotong, 100 pokok baharu wajib ditanam semula,” katanya menerusi ciapan di platform X hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang mengarahkan DBKL untuk segera mengambil tindakan menebang pokok yang berisiko tinggi susulan beberapa kejadian pokok tumbang di ibu negara baru-baru ini.
Zaliha berkata, pada masa yang sama DBKL juga diarah menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang dan menyediakan garis panduan baharu berhubung pokok berusia atau berisiko tinggi yang dijangka siap Julai ini.
“Bagi memastikan kelestarian alam terus dijaga dan diberi perhatian, DBKL juga perlu memperincikan program penggantian semula pokok termasuk dengan meneliti kaedah-kaedah bagi memastikan pokok tersebut utuh dan selamat untuk jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin lalu.
Baru-baru ini berlaku kejadian pokok tumbang dalam tempoh seminggu di sekitar ibu negara.
Kejadian pertama membabitkan sebatang pokok besar di Jalan Sultan Ismail, berhadapan Hotel Shang-ri La yang tumbang dan menghempap 17 kenderaan dan mengorbankan seorang pemandu pada 7 Mei lalu.
Manakala kejadian kedua berlaku dua hari lepas di Jalan Pinang di hadapan Menara Prestige, berhampiran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Bagaimanapun dalam kejadian kedua, hanya beberapa kenderaan yang rosak tetapi tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku. – Edisi 9