JAM tangan berjenama Rolex milik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerima bidaan tertinggi sebanyak RM135,000 selepas tempoh bidaan tamat pada pukul 12 tengah malam tadi.
Perkara tersebut dimaklumkan Zulkifli menerusi Facebook hari ini di mana beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pembida yang membida untuk mendapatkan jam berkenaan.
“Bidaan Jam Rolex untuk Palestin telah tamat. Terima kasih kepada pembida yang telah membida. Semoga Allah ganjari niat yang murni dengan balasan selayaknya.
“Jumlah bidaan yang tertinggi adalah RM 135,000. InsyaAllah , saya akan bertemu pemenangnya petang ini,” katanya.
Terdahulu, Edisi 9 melaporkan Zulkifli membuka bidaan bagi jam tangan Rolex kesayangan bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu pada harga tapak bernilai RM40,000 bermula Isnin lalu.
Menurut beliau, hasil jualan jam tangan yang dihadiahkan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz itu akan disumbangkan kepada rakyat Palestin.
“Bagi meraikan kesungguhan Kerajaan Arab Saudi menyalurkan sumbangan billion dollar kepada Palestin saban tahun, saya ingin membuka bidaan jam Rolex kesayangan saya ini dengan harga tapak RM40,000.
“Kenaikan bermula RM100 ke atas. Hasil bidaan akan didermakan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat Palestin yang sedang menderita di sana,” katanya. – Edisi 9