32.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Malaysia tidak perlu khuatir tekanan kuasa asing – Ahmad Zahid

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MALAYSIA tidak perlu khuatir dengan tekanan yang mungkin dikenakan kuasa asing dalam memperjuangkan hak kemanusiaan Palestin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia mempunyai nilai dan kaedah tersendiri dalam menangani perkara berkenaan kerana ia adalah komitmen kerajaan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Kita tidak harus khuatir sebab kita mempunyai nilai tersendiri dalam perkara ini dan kita tahu (selama) 75 tahun Palestin ditekan dan bagaimana penjajahan neokolonialisme dilakukan dahulunya oleh kuasa besar, diteruskan sehingga sekarang serta menafikan hak Palestin.

“Soal risiko dan sekatan ekonomi adalah sesuatu yang kita (mahu) elakkan, namun jika itu berlaku kita akan menangani dengan kaedah yang kita akan lakukan kelak,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau terdahulu menghadiri perjumpaan bersama diaspora Malaysia di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia London malam tadi.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK), Datuk Zakri Jaafar dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini mendedahkan beliau menerima banyak ugutan daripada negara luar, susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.

Katanya, selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat, beliau selaku ketua kerajaan tidak akan tunduk dan gentar dengan sebarang ugutan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, tidak ada sebab ugutan sekatan dilakukan terhadap Malaysia kerana apa yang dinyatakan Perdana Menteri adalah pendirian rasmi yang mewakili seluruh Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia.

“Ini adalah pendirian rasmi dan Malaysia sebagai negara berdaulat harus dihormati biarpun pendirian serta pandangan kita berbeza daripada negara yang tidak bersetuju dengan pendirian (Malaysia).

Advertisements

“Kita juga lihat bahawa suara lantang Perdana Menteri adalah suara lantang bukan hanya masyarakat Islam tetapi juga masyarakat pelbagai agama kerana kita mengutamakan nilai kesejagatan di dalam pendirian rasmi kita,” katanya.

Ditanya mengenai pertemuannya bersama beberapa Ahli Parlimen UK, beliau berkata mereka berkongsi pendirian yang sama dengan Malaysia walaupun ia berbeza dengan pendirian yang disuarakan ketua kerajaannya.

“Mereka (adalah Ahli Parlimen) parti daripada luar kerajaan yang memerintah, mereka sangat prihatin terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin.

“Tindakan segera perlu dilakukan bagi menyelamatkan rakyat Palestin yang berada di Gaza,”katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen UK, antaranya Rushanara Ali, Wajid Iltaf Khan, Baroness Uddin dan Catherine West.

Selain itu, beliau turut bertemu dengan Menteri Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar UK, Therese Coffey bagi mempelajari serta melihat potensi kerjasama antara Malaysia dan UK dalam isu pembangunan luar bandar.

Antara yang dikongsikan adalah bagaimana bantuan kewangan disediakan kerajaan UK untuk usahawan baharu seperti pelepasan cukai untuk menjadi pemangkin kepada perniagaan yang diwujudkan di kawasan luar bandar.

Malah, kerajaan UK mempunyai dana kemakmuran berjumlah 180 juta pound bagi menyokong aktiviti termasuk kepelbagaian ekonomi luar bandar yang menyediakan pembiayaan permulaan serta geran untuk premis baharu.

Ahmad Zahid kini dalam lawatan kerja rasminya ke UK selama empat hari hingga Sabtu ini.

Advertisements

Terkini

Pelajar UPSI adakan program bakti bersama gelandangan

SEKUMPULAN pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program khidmat bakti bersama golongan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala...

Lagi Artikel Berkaitan