KOTA TINGGI – Desaru Coast yang merupakan salah satu destinasi peranginan pantai premium di Malaysia turut bersama-sama membantu usaha kerajaan bagi melaksanakan program vaksinasi COVID-19 di negara ini.
Bagi tujuan itu, Pusat Persidangan Desaru Coast dijadikan pusat vaksinasi COVID-19 fasa pertama yang melibatkan petugas barisan hadapan di daerah ini.
Pusat persidangan berkeluasan 26,000 kaki persegi di bawah pengurusan The Westin Desaru Coast Resort itu akan dijadikan satu-satunya pusat vaksinasi petugas barisan hadapan di Kota Tinggi.
Program vaksinasi yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan bermula 1 Mac dan akan diteruskan sehingga 11 Mac melibatkan kira-kira 2,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada kakitangan kesihatan, anggota tentera, polis dan bomba.
Program vaksinasi di pusat persidangan tersebut akan mengikut jadual Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, yang bakal menyaksikan inokulasi petugas barisan hadapan dari Februari sehingga April 2021, diikuti warga emas dan golongan berisiko tinggi mulai April sehingga Ogos 2021.
Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil menzahirkan ucapan terima kasih kepada Desaru Coast ke atas sumbangannya kepada program vaksinasi yang mencerminkan usahasama yang cemerlang di antara sektor kerajaan dan swasta untuk memastikan kejayaan usaha vaksinasi kebangsaan.
Menurut beliau, lokasi itu dipilih kerana ia mudah diakses oleh petugas barisan hadapan dan para penduduk di kawasan tersebut.
“Tambahan pula, Pusat Persidangan Desaru Coast adalah luas dan selesa bagi mereka yang mendapatkan vaksinasi, terutamanya bagi Fasa 2 yang melibatkan warga emas dan golongan kurang upaya.
“Saya berharap para penduduk Kota Tinggi akan mengambil bahagian dalam usaha vaksinasi ini agar daerah Kota Tinggi dapat menjadi zon hijau pada akhirnya nanti.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Desaru Coast atas sumbangan mereka, bukan sahaja dalam memberikan tempat dan kemudahan malahan tenaga kerja bagi membantu kami menjayakan program ini,” katanya dalam kenyataan media.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings One Sdn Bhd, Roslina Arbak berkata, pihaknya berbesar hati kerana dipilih menjadi lokasi untuk program vaksinasi kebangsaan bagi daerah Kota Tinggi.
Beliau memberitahu, syarikatnya berasa gembira dapat membantu satu usaha yang amat penting dan memberikan khidmat kami dari sektor swasta untuk membendung pandemik COVID-19 di Malaysia.
“Sejak mulanya penularan COVID-19 di negara kita, Desaru Coast telah bekerjasama secara rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dan dalam masa yang sama, menyediakan sebuah tempat yang selamat bagi para pelancong, penduduk dan kakitangan Desaru Coast.
“Dengan perkembangan yang terkini, kami berharap dapat memperkukuhkan hubungan kami dengan pihak berkuasa untuk menyokong usaha mereka bagi membendung pandemik ini di Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengurus Besar The Westin Desaru Coast Resort, Grant Young berkata, pihaknya berada di barisan hadapan industri hospitaliti yang telah menerima impak yang besar akibat pandemik COVID-19.
“Tanpa perlu diperjelaskan dengan panjang lebar, kami ingin memastikan industri ini dapat pulih dengan segera dan bersyukur mendapat penghormatan ini, dan kami tidak sabar untuk memberikan sumbangan kami untuk menghentikan penularan pandemik COVID-19,” ujarnya. – EDISI 9