SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menganggap poster konon barisan ‘Kabinet Kerajaan Perpaduan 2022’ yang tular hari ini dipercayai dilakukan oleh ‘mamat tepi jalan’ (entah siapa-siapa).
Beliau yang terkejut dengan penyebaran poster tersebut berkata, adalah tidak mungkin Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berada dalam Kabinet yang sama.
“Pasti tidak, mungkin mamat tepi jalan (yang membuat poster tersebut),” katanya yang nama calon BN Parlimen Pontian itu, turut dimuatkan sebagai salah seorang ‘menteri Kabinet’ tersebut, ketika dihubungi Edisi 9.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek juga terkejut dengan penyebaran poster tersebut turut mengesahkan bahawa ia adalah palsu.
Ini kerana, umum mengetahui bahawa poster berkenaan adalah palsu kerana kesemua pemimpin BN, PH mahupun Perikatan Nasional (PN) telah menyatakan pendirian masing-masing.
‘Kabinet’ yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri itu konon turut dibarisi oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Lim Guan Eng sebagai Timbalan Perdana Menteri, lapor Astro Awani.
Seorang lagi Timbalan Perdana Menteri adalah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau daripada UPKO yang melengkapkan tiga orang mengisi jawatan tersebut.
Seramai 27 nama pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) turut disenaraikan barisan Kabinet ‘gabungan PH-BN’ tersebut.
Penyebaran poster Kabinet Bayangan Kerajaan Perpaduan 2022 – 2027 itu dipercayai dilakukan oleh pihak-pihak tertentu bagi mencetuskan provokasi dan memburukkan persepsi parti-parti berkenaan di mata pengundi.
Edisi 9 sedang menghubungi mereka yang dikaitkan dalam poster tersebut untuk mendapatkan penjelasan. – Edisi 9

