Thursday, June 4, 2026

Belum 24 jam dikebumi, dah berkira-kira nak pilihan raya

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

BELUM pun 24 jam jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin dikebumikan, parti-parti politik sudah berkira-kira untuk membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK).

Semuanya bagai tak sabar nak cari pengganti sedangkan kubur penyandang masih merah lagi. Bahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun masih belum menerima notis kekosongan kerusi berkenaan.

Begitulah ghairahnya orang kita terhadap politik, sehingga menolak ketepi keprihatinan dan simpati terhadap ahli keluarga Allahyarham yang masih berduka atas kehilangan orang tersayang.

Kalau mengikut kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, Presiden UMNO sudah memberi arahan agar Barisan Nasional (BN) mula menggerakkan jentera pilihan raya sejurus jenazah Allahyarham dikebumikan.

Katanya, persiapan perlu diatur dengan segera tanpa menunggu tarikh PRK yang akan dibuat SPR dalam tempoh terdekat. Begitulah ghairahnya…  

PRK Ayer Kuning bakal dilaksanakan berikutan tempoh penggal ke-15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak belum mencapai tiga tahun berdasarkan tarikh sidang pertama tahun pertama iaitu pada 19 Disember 2022.

Allahyarham Ishsam Shahruddin.

“Saya akan berjumpa jawatankuasa UMNO Bahagian Tapah empat peringkat termasuk Ketua Cawangan pada Rabu ini mengenai persediaan yang perlu dibuat walaupun masih dalam kesedihan,” katanya seperti dilapor media semalam.

Dalam PRU-15 lalu, Allahyarham Ishsam, bekas pemain bola sepak kebangsaan dan negeri Perak pada tahun 1980-an dan 1990-an, yang bertanding mewakili BN menang dalam pertembungan lima penjuru dengan memperolehi majoriti 2,213 undi.

Beliau meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai pertandingan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. Allahyarham berusia 59 tahun.

Sementara itu Amanah siang-siang lagi dah beri laluan kepada BN untuk bertanding dalam PRK Ayer Kuning bagi mewakili Kerajaan Perpaduan.

Mengikut kata Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi, keputusan itu sebagai isyarat jelas kepada rakyat bahawa kestabilan politik yang dicapai menerusi Kerajaan Perpaduan perlu dipelihara.

Bukan itu sahaja, DAPSY Kebangsaan pun sudah melaungkan seruan kepada semua parti Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kemenangan calon mereka di Ayer Kuning.

Wah, kalau ikutkan “kesepakatan” awal ini, nampak gaya BN/PN tak ada masalah untuk mempertahankan kerusi tersebut yang memang menjadi milik UMNO.

Untuk rekod dalam PRU-15 itu, selain Ishsam yang memperoleh 9,088 undi; calon Pakatan Harapan (PH), Mejar (B) Mohd Nazri Hashim pula mendapat 6,875 undi.

Maknanya jika digabung kedua-dua jumlah undi BN/PH, mereka tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan Perikatan Nasional (PN) yang pada PRU itu mendapat 6,812 undi.

Calon lain ialah dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Pejuang yang masing-masing hanya memperoleh 586 dan 105 undi.

Bagi PN, setakat ini belum ada kenyataan rasmi dibuat berhubung persiapan PRK Ayer Kuning namun suara dari beberapa pemimpin tempatan terutama dari Pas, sudah kedengaran untuk merampas kerusi tersebut hanya beberapa jam berita kematian Ishsam.

Apapun Ayer Kuning akan menjadi gelanggang untuk menentukan kekuatan UMNO/BN di negeri Perak selepas hampir tiga tahun bersama PH dan DAP membentuk kerajaan negeri. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan