SPESIES bangkai ikan paus yang terdampar di pantai Sungai Miang, Pekan, Pahang sukar untuk dicam memandangkan keadannya yang telah lama mereput.
Bagaimanapun, menurut Jabatan Perikanan Malaysia, berdasarkan keadaan bangkai, spesies ikan mamalia itu dipercayai jenis Bryde atau Fin.
Jabatan itu berkata, Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang, Terengganu telah mengambil sampel bagi menjalankan analisis eDNA bagi menentukan spesies lebih tepat.
“Pihak Jabatan Perikanan ingin merakamkan penghargaan kepada orang awam yang telah menyalurkan maklumat mengenai penemuan ini.
“Kerjasama sebegini amat penting dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan hidupan marin di perairan negara,” kata jabatan itu menerusi satu kenyataan hari ini.
Bangkai paus sepanjang lebih 11 meter itu ditemukan terdampar di Pantai Kampung Sungai Miang oleh pemancing kira-kira 4.45 petang semalam.

Ketika ditemukan, mamalia itu dipercayai mati sejak beberapa hari lalu dan sudah berulat serta terdapat kesan giginya dipotong.
Jabatan Perikanan berkata, bertindak atas maklumat awam, pasukan dari Pejabat Perikanan Negeri Pahang (PPN Pahang) bersama Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang (RA), Terengganu telah turun ke lokasi untuk meninjau keadaan bangkai berkenaan
Jabatan Perikanan berkata, di bawah Akta Perikanan 1985, spesies paus dilindungi di bawah peruntukan berkaitan spesies marin terancam.
Oleh itu, katanya, sebarang gangguan atau eksploitasi terhadap paus adalah dilarang dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Jabatan akan terus memantau situasi ini dan akan mengambil tindakan lanjut sekiranya diperlukan,” katanya. – Edisi 9

