CHEN Tang Jie-Toh Ee Wei mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi beregu campuran pertama negara beraksi di final Jelajah Dunia Akhir BWF sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2008.
Ini berikutan kejayaan mereka menumpaskan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai 21-15, 21-12 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Hangzhou, China sebentar tadi.
Ini merupakan pertemuan kedua bagi kedua-dua beregu negara itu dalam kejohanan tersebut setelah sebelum ini mereka diundi dalam kumpulan sama.
Dalam pertemuan di gelanggang sama kelmarin, Tang Jie-Ee Wei juga berjaya menumpaskan Soon Huat-Shevon 14-21, 21-10, 21-14, sekali gus melebarkan kemenangan mereka.
Dalam perlawanan akhir esok, pasangan negara akan berdepan cabaran getir apabila bertemu jaguh tuan rumah, Zheng Shi Wei-Huang Ya Qiong yang mengenepikan jaguh no.1 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-11, 21-18 dalam satu lagi separuh akhir.
Untuk rekod, Tang Jie-Ee Wie belum pernah menang dalam empat pertemuan berdepan Shi Wei-Ya Qiong sebelum ini, dengan terakhir dalam Kejohanan Asia pada April lalu.
Sementara itu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berada dalam prestasi terbaik untuk mara ke pentas akhir penutup jelajah BWF bagi 2024 ini.
Mereka akan ditentang beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di peringkat separuh akhir.
Rekod pertemuan kedua-dua beregu tersebut menyaksikan Sze Fei-Izzuddin menang dalam kedua-dua pertemuan sepanjang tahun ini dengan kali terakhir pada suku akhir Terbuka Artik di Finland Oktober lalu.
Sebelum itu, beregu profesional negara itu juga menewaskan beregu di ranking keenam dunia itu di suku akhir Terbuka Jepun yang menyaksikan Sze Fei-Izzuddin muncul juara.
Selamat maju jaya kepada kesemua wira dan wirawati negara yang bertarung di Hanzhou hari ini. – Edisi 9