23.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, January 18, 2025

Tiada makluman Tengku Zafrul mahu keluar UMNO – Zahid

Mesti Baca

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak menerima sebarang pemakluman daripada Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk keluar daripada parti itu bagi menyertai parti lain. 

Timbalan Perdana Menteri berkata setakat ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu juga tidak ada bertemu dengannya untuk membincangkan perkara itu.

“Jadi kita tak dapat mengesahkan berita berkenaannya,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Keempat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan media yang mendakwa Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan menyertai PKR untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu. 

Tengku Zafrul yang menganggotai Kabinet sebagai Menteri Kewangan berstatus Senator sejak 2020 di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), beliau bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Selangor namun tewas kepada Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad daripada PKR.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi dilantik sebagai Senator oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudian melantik beliau menerajui MITI.

Advertisements

Sementara itu Ahmad Zahid mengingatkan bahawa parti-parti yang dibentuk dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya mengambil mana-mana ahli parti lain dalam gabungan itu bagi menjaga ‘hati’ parti masing-masing. 

Justeru beliau menasihati semua parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk terus menjaga perpaduan yang terbina dalam gabungan tersebut sebaiknya. 

Malah beliau turut mengingatkan ahli dan pemimpin parti untuk mengutamakan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi masing-masing.

“Apa pun agenda peribadi hendaklah diketepikan jika seseorang itu mahu partinya diberikan keutamaan.

“Kalau memberikan kepentingan peribadi sebagai keutamaan, maka kita serahkan untuk ahli-ahli menilai integriti seseorang itu,” katanya. 

Berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, Ahmad Zahid berkata, kerajaan menyerahkan kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Sebelum ini Laporan RCI itu mengesyorkan antara lain, siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama dan juga di bawah Seksyen 418 kanun sama. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Lima beregu negara melangkah bergaya ke separuh akhir

LIMA beregu negara masing-masing dua beregu lelaki, dua beregu campuran dan satu beregu wanita melangkah bergaya ke separuh akhir...

Lagi Artikel Berkaitan