GOH Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mempamerkan semangat juang yang tinggi ketika bertarung di separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF sebelum mara ke final di Hangzhou, China hari ini.
Berdepan bekas beregu no. 1 dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto mereka berjaya menafikan kemenangan biarpun pasangan Indonesia itu enam kali berada di mata akhir.
Set pertama menyaksikan pasangan profesional negara itu gagal mengekang permainan pantas beregu di ranking keempat dunia itu dan akur dengan kekalahan 17-21.
Di set kedua, Sze Fei-Nur Izzuddin yang berada di rangking ketujuh dunia memperkemaskan permainan dan menyerap asakan sebelum menang 21-16.
Pada set penentuan beregu Indonesia semakin yakin dengan permainan pantas sehingga suatu ketika meninggalkan beregu negara dengan 14-9.
Bagaimanapun Sze Fei-Izzuddin berjaya mengimbangi permainan Alfian-Ardianto sehingga berjaya mengutip lima mata untuk menjadikan kedudukan 14-14.
Sejak itu kedua-dua beregu saling berkejaran mata demi mata sehingga mengheret ke deuce 20-20.
Beregu Indonesia berjaya mengutip mata akhir sebanyak enam kali namun berjaya dipatahkan Sze Fei-Izzuddin.
Pada kedudukan 25-25, Sze Fei-Izzuddin berjaya mengutip mata akhir buat kali pertama pada set penentuan itu dan mereka berjaya menamatkan perlawanan dengan 27-25 dalam masa keseluruhan 1 jam 21 minit.
Lawan Sze Fei-Izzuddin di pentas akhir esok ialah beregu no. 3 dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang mudah mengetepikan Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 23-21, 21-13.
Kedua-dua pasangan itu sebelum ini bertemu di peringkat kumpulan yang berpihak kepada pasangan Denmark 21-18, 16-21, 21-14.
Kali terakhir Sze Fei-Izzuddin menang ke atas Astrup-Rasmussen di final Terbuka Artik, Finland Oktober lalu. – Edisi 9