DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan ahli UMNO yang sanggup meninggalkan perjuangan parti demi mencapai kepentingan peribadi.
Pada masa yang sama, Presiden UMNO itu berkata, parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan juga tidak sewajarnya mengambil ahli dalam kalangan rakan gabungan yang membentuk kerajaan ketika ini.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan, parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan perlu menghormati BN, sama seperti BN yang menghormati rakan lain dalam gabungan berkenaan.
“Saya sebelum ini sudah keluar kenyataan jangan ambil ahli dari parti rakan komponen Kerajaan Perpaduan.
“Saya menghormati rakan parti lain, tapi parti lain tolong hormat BN, tolong hormat UMNO.
“Kalau ada kepentingan peribadi, kalau ada kepentingan individu, go to hell kepada kepentingan peribadi, go to hell kepada individu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen BN Kedah di Sungai Petani, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Ahmad Zahid berkata, UMNO mengutamakan individu yang setia kepada parti berbanding yang mempunyai kepandaian, tetapi tidak memiliki semangat kecintaan kepada parti.
Jelasnya, pihak terbabit perlu mengingati ketika mereka berada dalam kesusahan, yang kekal menyokong parti adalah ahli akar umbi BN terutama penyokong UMNO yang kekal setia sehingga hari ini.
“UMNO lebih mengutamakan orang yang taat setia kepada parti daripada orang yang pandai, tapi tak ada menunjukkan kesetiaan.
“Saya tak rujuk kepada mana-mana yang masih hidup atau yang mati, tapi kena ingat masa susah, ahli di bawah yang membantu UMNO dan BN,” katanya.
Sebelum ini tersebar desas-desus yang Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Abd Aziz akan menyertai PKR untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.
Berdasarkan laporan media, gerakan sedang dibuat bagi membolehkan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Industri itu menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari.
Ini termasuk mengadakan satu pilihan raya kecil di kawasan selamat untuk ditandingi Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu manakala Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak akan dilantik sebagai menteri Kabinet.
Untuk rekod tempoh Tengku Zafrul sebagai Senator akan berakhir penghujung tahun depan.