HASRAT Malaysia mencipta rekod kegemilangan dengan lima wakil negara layak ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) terencat dik peraturan baharu persekutuan itu.
Lee Zii Jia yang sepatutnya telah menempah tiket ke separuh akhir ekoran dua kemenangan ke atas pilihan pertama Anders Antonsen dari Denmark dan jaguh Taiwan, Chou Tien Chen sebelum ini.
Bagaimanapun, dia menarik diri ketika bertemu pemain tuan rumah, Li Shi Feng dalam perlawanan ketiga sebentar tadi ekoran kecederaan pada buku lali.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu sedang mendahului 15-11 pada set kedua setelah mencatat kemenangan pada set pertama 22-20 mengalami kecederaan.
Peraturan baharu BWF yang tidak membenarkan para pemain menerima rawatan ketika permainan sedang berlangsung menyebabkan Zii Jia tidak dapat menahan kesakitan dan terpaksa menamatkan permainan lebih awal.
Akibatnya, semua mata yang diperoleh dalam kedua-dua permainan sebelum ini dibatalkan dan sekali gus terlepas peluang ke separuh akhir yang akan berlangsung esok.
Sementara itu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga turut terlepas tiket ke separuh akhir apabila mereka tewas straight-set 21-16, 21-16 bertemu Sabar Karyaman Gutama-Muhammad Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia.
Keputusan wakil China He Jiting-Ren Xiangyu yang menarik diri daripada kejohanan ekoran kecederaan membatalkan mata yang diperoleh sekaligus menyaksikan mereka memerlukan kemenangan satu set dalam aksi terakhir untuk ke peringkat kalah mati.
Kekalahan itu meletakkan Aaron-Wooi Yik di tangga ketiga sekali gus terlepas peluang ke separuh akhir.
Sementara itu, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengesahkan tempat ke separuh akhir dalam kejohanan penutup tirai jelajah BWF 2024 yang berlangsung di Hangzhou, China itu.
Sze Fei-Izzuddin yang memburu misi wajib menang bagi melayakkan diri ke pusingan kalah mati itu berjaya menjinakkan beregu Taiwan dalam perlawanan terakhir Kumpulan B sebentar tadi.
Mereka menewaskan Lee Yang-Wang Chi-Lin 24-22, 21-12 untuk mencatatkan dua kemenangan dan sekali kalah, sekaligus mengiringi gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen ke separuh akhir.
Manakala kemenangan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai ke atas beregu Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja membolehkan dua wakil negara dalam acara beregu campuran melangkah ke separuh akhir.
Sebelum itu, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei telah menempah slot lebih awal setelah menang dalam ketiga-tiga permainan di Kumpulan B.
Sementara itu, Pearly Tan-M.Thinaah yang diundi dalam kumpulan ‘maut’ gagal mencatat sebarang kemenangan setelah tewas kepada beregu no. 1 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning.
Mereka yang sudah tidak mempunyai harapan bagaimanapun memberi tentangan sengit kepada beregu tuan rumah sebelum tewas 9-21, 21-18, 18-21 dalam masa 1 jam 16 minit. – Edisi 9