SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memperuntukkan sebanyak RM13.7 juta bagi perolehan lebih 2,000 titik akses rangkaian WiFi di tiga institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, titik akses WiFi itu akan dipasang di ketiga-tiga IPT tersebut iaitu Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis bermula Januari depan.
“Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri tentang usaha pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi melengkapkan semua universiti awam dengan perkhidmatan Internet.
“Bagi MCMC, perbincangan dengan semua universiti ini telah bermula pada 5 Dis lepas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dengan Naib Canselor,” katanya dalam sidang media mingguan di Putrajaya hari ini.
Pada 25 September lalu, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan MCMC dan KPT segera menyelesaikan isu capaian Internet di IPTA.
Katanya, ini memandangkan kebanyakan kampus akan menerima kemasukan pelajar dalam tempoh terdekat.
Susulan arahan itu, pada 6 Oktober lalu, Zambry berkata, KPT sedang berusaha memastikan capaian Internet di semua IPTA berada pada tahap tertinggi.
Kata beliau, pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan pihak berkaitan seperti arahan Perdana Menteri yang mahu isu kelemahan capaian Internet di IPTA segera diselesaikan. – Edisi 9