DUA beregu campuran negara berjaya mengisi slot ke separuh akhir Kumpulan B Jelajah Dunia Akhir BWF selepas berjaya mengatasi lawan masing-masing di Hongzhou, China sebentar tadi.
Dalam aksi ketiga kumpulan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang sudah mengesahkan tempat hasil dua kemenangan sebelum ini menundukkan Horiko Midorikawa-Natsu Saito.
Beregu negara yang menduduki ranking kelapan dunia menyingkirkan pasangan Jepun itu dengan straight-set 21-17, 21-18 dalam masa 41 minit, sekali gus mendahului kumpulan.
Turut mengiringi mereka, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang berjaya merekodkan kemenangan ke atas beregu Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja.
Kemenangan 17-21, 21-15, 21-14 itu menjadikan mereka merekodkan dua kali kemenangan dan sekali kalah, sekali gus mara ke separuh akhir bermula esok.
Dalam Kumpulan A pula menyaksikan beregu tuan rumah menguasai carta dengan pasangan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin berada di tangga teratas dengan mengumpul tiga kemenangan manakala Zheng Si Wei-Huang Ya Qiang di tangga kedua.
Ini bermakna separuh akhir esok bakal menyaksikan pertembungan beregu Malaysia dan China bagi mencari dua slot ke peringkat akhir.
Sementara itu, dua lagi wakil negara yang telah mengesahkan tempat di separuh akhir kejohanan ialah beregu utama lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia.
Manakala satu lagi beregu lelaki, Goh Sze Wei-Nur Izzuddin Rumsani akan membuat perhitungan terakhir petang ini bertemu beregu Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin. – Edisi 9