23 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 15, 2025

YKM belanja RM5 juta bantu anak yatim akibat COVID-19

Mesti Baca

YAYASAN Keluarga Malaysia (YKM) telah membelanjakan sebanyak RM5 juta pada tahun ini bagi membantu meringankan beban dihadapi anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan orang tersayang akibat COVID-19.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu telah disalurkan menerusi pelbagai jenis bantuan termasuk bantuan persekolahan, bantuan menara gading, hadiah kecemerlangan akademik, sumbangan perayaan dan bantuan bencana serta pengurusan.

Menurut Ismail Sabri, jumlah sumbangan dijangka meningkat pada tahun hadapan.

Beliau berkata, YKM telah menerima sebanyak 890 permohonan baharu yang masih lagi dalam proses semakan dan tapisan.

Jelasnya, pemohon yang layak akan dimaklumkan dalam masa terdekat melalui e-mel dan WhatsApp.

“YKM terus komited untuk membantu anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan orang tersayang akibat pandemik COVID-19.

“YKM juga telah menyalurkan bantuan kasih secara berfasa kepada 977 penerima sejak tahun 2022 termasuk seramai 47 penerima bantuan daripada 21 keluarga di Sarawak.

“Anak-anak yang berusia di bawah 16 tahun menerima bantuan sebanyak RM2,000 setahun manakala remaja berusia 16 tahun sehingga tamat pengajian ijazah pertama menerima bantuan sebanyak RM2,500 setahun,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum itu, bekas Perdana Menteri itu menyantuni dua keluarga di sekitar Bandar Raya Kuching, Sarawak sempena Hari Natal dan menziarahi pemohon baharu bantuan YKM.

Keluarga pertama ialah Tina Bong, 50, yang kehilangan suami, Sim Siang Yeong, 53, akibat pandemik COVID-19 pada Oktober 2021.

Dia kini menumpang hidup di rumah milik mentua bersama-sama dua orang anaknya iaitu Ethan Sim Yong Ching, 18 dan Evan Sim Yong Ching, 15.

Advertisements

Tina juga terpaksa menjaga kedua-dua mentuanya yang berusia 87 dan 85 tahun yang uzur.

Dia hanya bekerja sendiri dari rumah iaitu membantu orang memasak sekiranya ada permintaan dengan pendapatan yang tidak menentu.

Ismail Sabri memaklumkan, beliau menyampaikan sendiri bantuan wang tunai kepada Tina dan keluarga bagi memastikan mereka dapat menyambut Hari Natal dengan penuh kegembiraan.

“Serentak dengan itu, seramai 20 anak-anak yatim dan yatim piatu di bawah kendalian YKM yang beragama Kristian akan menerima sumbangan Hari Natal sebanyak RM300 setiap seorang melalui akaun bank masing-masing bermula esok.

“Ini merupakan komitmen YKM bagi memastikan anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan orang tersayang dapat menyambut setiap perayaan berdasarkan kepercayaan dan budaya masing-masing dengan penuh kegembiraan,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut menziarahi keluarga Rimanoraishahida Sarbini, 37, yang kematian suami, Mohamad Nuryasri Suut yang berusia 40 tahun pada 14 September 2021 akibat COVID-19.

Rimanoraishahida terpaksa menjaga tiga orang anaknya iaitu Muhammmad Iman Darius, 16; Nur Iman Amani, 14 dan Nur Iman Aleeya yang berusia 13 tahun dengan pendapatan RM700 sebulan sebagai pengasuh kanak-kanak.

“Saya telah menziarahi keluarga Rimanoraishahida di Taman Malihah, Kuching yang merupakan pemohon baharu bantuan YKM.

“Setelah meneliti taraf hidup keluarga ini, YKM bersetuju untuk memasukkan ketiga-tiga anaknya sebagai penerima bantuan yayasan ini bermula tahun hadapan.

“Saya telah menyerahkan surat kelulusan permohonan YKM kepada Rimanoraishahida ketika mengunjungi keluarga tersebut,” jelasnya.

Advertisements

Terkini

Bantuan SARA disalur kepada 700,000 penerima mulai esok

DALAM usaha berterusan untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri...

Lagi Artikel Berkaitan