Thursday, June 4, 2026

Calon GPS bagi PRK Jepak diumum Rabu ini

Mesti Baca

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) akan mengumumkan calonnya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, pada Rabu ini.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata beberapa individu telah dikenal pasti sebagai calon kerusi berkenaan, namun gabungan itu akan memastikan calon yang bakal bertanding ‘bersih’ daripada sebarang rekod jenayah dan rasuah.

“Beberapa senarai nama ini (calon) sedang disaring oleh polis (Polis Diraja Malaysia) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Kita (GPS) perlu dapatkan calon yang baik dan bersih, itu prosedur biasa,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Bintulu, Sarawak, semalam.

Beliau berkata, beberapa faktor seperti usia dan komposisi pengundi di DUN Jepak perlu diambil kira sebelum GPS memuktamadkan calon yang layak bertanding di kawasan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Jepak pada 4 November ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 21 dan 31 Oktober.

PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu. – BERNAMA

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan