Sunday, June 14, 2026

DUN Rantau: Tok Mat tidak akan pandang remeh terhadap pencabarnya

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENYANDANG empat penggal kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak akan sesekali memandang remeh terhadap pencabarnya dari Perikatan Nasional (PN) Rozmal Malakan.

Mohamad berkata, beliau menghormati sesiapa sahaja yang bertanding dalam pilihanraya.

“Dia seperti main bola, bola itu bulat, situasi berbeza, isu-isu semasa berbeza,” katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon bagi kerusi tersebut di Sekolah Kebangsaan Sri Sendayan di sini, hari ini.

Beliau merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Rantau dan akan bersaing satu lawan satu dengan Rozmal Malakan dari PN.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kerusi DUN Rantau, Norazam Nayan mengumumkan pertembungan satu lawan satu antara Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat dan Rozmal.

Timbalan Presiden UMNO juga berharap agar semua pengundi di DUN Rantau memberi sokongan lagi kepada BN.

Mohamad memberitahu, bagi mencapai matlamat tersebut, jentera dan penyokong BN perlu memulakan gerak kerja kempen di sekitar kawasan DUN Rantau dan menyantuni seramai mungkin pengundi.

“Penggunaan media sosial juga akan digunakan untuk menyantuni pengundi muda,”katanya.

Sementara itu, Rozmal yang kali pertama bertanding dalam pilihan raya yakin mempunyai peluang untuk memenangi kerusi DUN Rantau walaupun dianggap sebagai calon bukan pilihan berbanding Mohamad.

“Peluang itu ada, bergantung kepada jentera kita dan pengundi. Kalau kita dapat yakinkan pengundi lebih 50 peratus, insya-Allah peluang itu ada,”kata Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Rembau. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan