PENGUNDI di Kelantan perlu membuat keputusan bijak dengan memilih calon daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi membuka jalan kepada penyelesaian pelbagai masalah di negeri ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan memilih Kerajaan Perpaduan akan membolehkan pelbagai peruntukkan disalurkan oleh kerajaan Pusat.
Katanya, rakyat negeri itu sudah muak isu bekalan air bersih dan peluang pekerjaan yang terhad telah membelenggu mereka sejak pemerintahan 33 tahun Pas di negeri tersebut.
“Mereka telah lama terseksa dan mahu masalah yang dihadapi seperti masalah air bersih selesai selain mengatasi masalah ketiadaan peluang kerja sehingga memaksa golongan muda berhijrah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa hadir memberi sokongan kepada calon BN dan PH yang bertanding bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chetok, Gual Periok dan Apam Putra di Kompleks Apam Putra di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, komitmen Kerajaan Perpaduan jelas dapat dilihat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion bagi mengatasi masalah air serta projek tebatan banjir di Kelantan.
“Kita berazam kalau Kelantan boleh diubah dan kita dapat mentadbir negeri ini, kita janji selesaikan masalah yang ditanggung rakyat.
“Malah lebih banyak peruntukan pembangunan dan projek-projek lain akan menyusul jika pentadbiran kerajaan negeri selari dengan kerajaan Pusat,” katanya. – Edisi 9