30 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 23, 2024

Utamakan rakyat berbanding kepentingan politik – Tunku Muhriz

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan semua wakil rakyat yang memenangi pilihan raya negeri (PRN) supaya mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat berbanding kepentingan politik atau peribadi.

Baginda bertitah, rakyat telah memberikan amanah kepada mereka untuk menyuarakan segala permasalahan serta keperluan dalam merangka dan melaksanakan sesuatu dasar atau keputusan.

“Beta juga suka mengingatkan semua wakil rakyat supaya sentiasa bekerjasama dan tertib serta mengambil bahagian dengan baik dalam setiap perbincangan mengenai sesuatu permasalahan, terutamanya ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang kelak.

“Ini bagi memastikan, rakyat beta di negeri yang beta kasihi ini akan sentiasa mendapat nikmat daripada setiap dasar yang dirangka dan dilaksanakan.

“Justeru, fokus dan keutamaan kamu adalah kepada kepentingan dan perkhidmatan untuk rakyat negeri ini kerana kesetiaan utama kamu ialah untuk negeri, bukannya kepada mana-mana parti politik ataupun keperluan peribadi,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini.

Advertisements

Pada istiadat itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan bagi penggal kedua berturut-turut.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz turut bertitah mahu melihat kerajaan negeri yang baharu ini ditadbir dengan asas ketelusan dan akauntabiliti yang kukuh.

Titah baginda, jabatan dan agensi kerajaan juga perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi tanpa ada kecondongan kepada mana-mana fahaman politik.

“Beta turut menyeru kepada seluruh anggota tentera dan polis serta semua agensi keselamatan untuk terus berkhidmat kepada Raja dan Negara.

“Juga kepada badan kehakiman, agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan unit pendakwaan, beta berpesan supaya terus berkhidmat dengan bebas dan profesional berpaksikan keadilan dan kesaksamaan,”titah baginda. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mana mungkin saya berkomplot khianati parti UMNO – Nizar Najib

"MANA mungkin saya akan berkomplot untuk mengkhianati parti yang keluarga saya perjuangkan bersama-sama orang UMNO yang lain sejak ia...

Lagi Artikel Berkaitan