Wednesday, July 22, 2026

Kerajaan pandang serius insiden wakil rakyat terima e-mel ugutan

MCMC diarah bekerjasama dengan PDRM bagi mengesan dan menjejak penjenayah yang menghantar e-mel ugutan tersebut melalui aplikasi Gmail.

Mesti Baca

KERAJAAN memandang serius insiden sembilan wakil rakyat yang menerima e-mel berunsur ugutan yang disertakan dengan tangkap layar video palsu berasaskan kecerdasan buatan (AI) sejak kelmarin.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunimasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan dan menjejak penjenayah yang menghantar e-mel ugutan tersebut melalui aplikasi Gmail.

“Kerajaan Madani tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan teknologi dan rangkaian komunikasi untuk mengugut atau memperdaya rakyat. 

“Segala usaha akan digembleng bagi memastikan penjenayah dibawa ke muka pengadilan demi menjamin keselamatan masyarakat,” katanya hari ini.

Sebelum ini sekurang-kuranya sembilan wakil rakyat terdiri daripada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima e-mel terbabit dengan menuntjt bayaran sebanyak USD10,000 (RM420,500) jika tidak video berkenaan akan ditularkan.

Tangkap layar e-mel berbau ugutan yang diterima Fahmi Fadzil.

Mereka yang menerima e-mel yang sama ialah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli;  Wong Chen (Subang); Dr. Taufiq Johari (Sungai Petani); Adam Adli (Timbalan Menteri Belia dan Sukan); Najwan Halimi (Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor); Senator Manolan Mohamad; Wong Chia Zen (ADUN Kulim) dan Dr Fahmi Ngah (Exco Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Selangor).

Fahmi menegaskan, menghantar komunikasi jelik dengan niat mengugut adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan ini juga boleh disiasat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Fahmi yang turut menerima e-mel ugutan tersebut berkata, pengirim berkenaan mengancam untuk menyebarkan video palsu berkenaan sekiranya penerima tidak membuat bayaran sebanyak USD100,000.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati e-mel berkenaan menggunakan ayat yang hampir sama, disertakan dengan tangkap layar serupa, dan dipercayai dihantar daripada alamat e-mel yang sama.

Semalam, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi mendakwa menerima ugutan berupa rakaman video lucah dengan seorang lelaki menerusi satu e-mel.

Rafizi berkata, pengirim berkenaan turut menyertakan tangkap layar video berkenaan serta kod QR agar memudahkan beliau membuat pindahan wang.

“Tangkap layar video tu nampak seperti seorang lelaki. Katil, bilik dan setting macam kabur-kabur. Macam video kabur yang pernah ada dulu, cuma nampak macam muka saya,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan