31.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 26, 2024

Ambil iktibar kejatuhan parti GOLKAR dan Parti INC

Mesti Baca

PERLU ada sifat tanggungjawab atas kekalahan yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri yang lalu, UMNO perlu mengambil iktibar daripada parti negara lain.

UMNO harus mengambil iktibar daripada Parti Golongan Karya (GOLKAR) dan Kongres Kebangsaan India (INC) yang masing-masing pernah mendominasi Indonesia dan India satu ketika dulu namun kini hanya menjadi parti serpihan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kapar, Mohd Affifi Mohd Aris berkata, melihat keputusan yang diperoleh UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri Sabtu lalu adalah yang terburuk dan memalukan dalam sejarah untuk parti berusia 77 tahun dan tertua di negara ini.

Beliau juga mempersoalkan apakah nasib parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 serta tahun berikutnya, jika tidak mengambil iktibar keputusan PRN Sabtu lalu.

“Kekalahan pada PRN Sabtu lalu disifatkan sebagai ‘Menang sorak, kampung tergadai’ kerana pada awalnya ahli UMNO dimomokkan dengan penggabungan BN-Pakatan Harapan (BN-PH) di mana pakatan itu akan menguasai negeri di Pantai Barat manakala UMNO pula menguasai negeri di Pantai Timur.

Namun, sebaliknya yang berlaku, gabungan BN-PH ditolak oleh pengundi walaupun dengan laungan ‘Perpaduan’.

Ini membuktikan, formulasi itu hanya angan-angan mat jenin bagi BN-PH, kecuali bagi Parti Demoktarik Rakyat (DAP) yang bertanding di 47 DUN dan menang 46 kerusi.

“Hakikatnya, DAP semakin kukuh, yang lemah adalah UMNO. Saya tertanya, adakah DAP tidak mempersoalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa UMNO menjadi liabiliti kepada kerajaan atau ia hanya membabitkan individu di dalam UMNO sahaja, sehingga menyebabkan Anwar terpaksa membuat pilihan pada masa akan datang demi memastikan rakyat kembali yakin kepada pentadbiran Perdana Menteri ke-10.

“Secara peribadi, UMNO tidak bersalah, saya menyanjung tinggi parti yang mana sewaktu saya kecil, datuk nenek dan keluarga saya berjuang habis-habisan demi UMNO, kini saya melihat kemerosotan UMNO semakin parah.

“Azam saya untuk baiki parti ini mesti bermula dengan Pemuda,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Advertisements

Mohd Affifi berkata, UMNO perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan berkenaan dan mesti diadakan ‘post-mortem’ secara menyeluruh.

“Ini adalah tanggungjawab UMNO (BN) sepenuhnya untuk kembali bangkit dan menjadi dominasi seperti dahulu yang pernah dilabel sebagai UMNO (BN) : The Longest Serving Party in Democratic World.

“Kekalahan ini jika dikira, sebanyak 82 peratus nilai kegagalan UMNO. Ini adalah keputusan terburuk dan memalukan dalam sejarah politik Malaysia untuk sebuah parti tertua yang berusia 77 tahun.

“Sebanyak 108 kerusi DUN UMNO-BN tandingi, namun hanya 19 sahaja dimenangi iaitu sekadar 18 peratus kemenangan dengan sumbangan terbesar daripada UMNO Negeri Sembilan sebanyak 14 kerusi DUN.

“Ini adalah satu isyarat jelas daripada rakyat Malaysia mengenai penolakan UMNO (BN) pada masa kini, lebih sesuai ditakrifkan sebagai manifestasi rakyat terhadap parti itu,” katanya.

Mohd Afifi berkata, dia sangat mengagumi pemimpin yang berjiwa besar dan mendahulukan parti iaitu bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengambil tanggungjawab penuh selepas UMNO tidak lagi menjadi kerajaan selepas PRU 14.

“Namun, beliau tetap utuh berjuang demi mengembalikan keyakinkan rakyat kepada UMNO sehingga kita menjadi sebahagian daripada kerajaan pada tahun 2020 dan memimpin kerajaan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2021,” katanya.

Beliau menyifatkan rakyat Malaysia masih menyayangi perjuangan parti keramat itu dan disebabkan itu pemimpin tidak boleh membunuh parti berkenaan demi kepentingan diri sendiri.

“Maafkan saya, walaupun kenyataan ini perit, ia adalah hakikat yang berlaku pada hari ini,” katanya lagi. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Takraw Piala Dunia: Malaysia, Thailand berentap di ‘final’

MALAYSIA mengulangi kejayaan mara ke pentas akhir Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw buat kali ketiga apabila mengetepikan cabaran negara...

Lagi Artikel Berkaitan