POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai pemilik akaun Facebook @SamBanjar Perak kerana dipercayai telah memuat naik hantaran berbaur hasutan serta menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di Bera, Pahang.
“Lelaki berkenaan disyaki pemilik akaun Facebook @SamBanjar Perak telah memuat naik hantaran berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, lelaki itu direman empat hari hingga 18 Ogos ini.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,”katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah dan mengelakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keamanan dan perpaduan terutamanya melibatkan isu 3R (raja, agama, kaum). – Edisi 9