CHELSEA dilapor bersetuju membayar yuran perpindahan sebanyak RM324 juta kepada Southampton bagi mendapatkan pemain sasaran Liverpool, Romeo Lavia.
Liverpool sebelum ini turut mengemukakan tawaran seperti diminta The Saints namun pemain tengah berusia 19 tahun itu memilih untuk berhijrah ke Stamford Bridge, sama seperti yang dilakukan Moises Caicedo.
Lavia sebelum ini bakal menyertai revolusi jentera tengah Liverpool musim ini namun bekas produk produk akademi Manchester City itu cenderung memilih ke London berbanding Merseyside.
City yang mempunyai pilihan untuk membeli semula pemain berkenaan tidak melakukannya susulan penolakan daripada Pep Guardiola.
Lavia merupakan antara bakat muda berpotensi besar menikmati musim yang menyeronokkan di Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila melakukan 29 penampilan sepanjang musim.
Namun, disebalik prestasi baik yang dipamerkannya, Lavia gagal membantu The Saints kekal di EPL dan tersingkir ke Liga Kejohanan.
Dalam pada itu, Chelsea turut dilapor bersetuju mengaktifkan klausa pelepasan Michael Olise dari Crystal Palace yang bernilai RM206.2 juta.
Pemain sayap itu sebelum ini merupakan produk akademi Chelsea di Cobham dan dijangka diumumkan sebagai pemain baharu Chelsea dalam minggu ini.
Perpindahan Olise juga dijangka menjadikan jumlah yang dibelanja pemilik Chelsea, Todd Boehly sejak membeli kelab itu kepada £1 bilion atau RM5.89 bilion. – Edisi 9