SEBANYAK 13 kejadian pecah masuk direkodkan di Pusat Sebaran Maklumat Nasionla (NADI) di negeri Johor dalam tempoh dua bulan pada September dan Disember tahun lalu, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut MCMC, kejadian tersebut bukan sahaja melibatkan kehilangan wang tunai tetapi juga kerosakan aset-aset NADI berkaitan.
“Insiden-insiden ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan fasiliti awam malah turut memberi kesan kepada kelangsungan operasi harian NADI dan penyampaian perkhidmatan kepada komuniti setempat,” kata kenyataan MCMC hari ini.
Sehubungan itu, MCMC merakamkan penghargaan kepada pihak polis kerana berjaya memberkas seorang suspek di Pontian, dipercayai ada kaitan dengan kejadian pecah masuk NADI di negeri itu.
MCMC berkata, penahan suspek tersebut hasil penyelarasan operasi dan perkongsian maklumat yang berkesan antara Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, khususnya Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian bersama MCMC dan pengurusan NADI.
“Tindakan bersepadu ini membolehkan siasatan dijalankan dengan pantas serta mengenal pasti pola kejadian pecah masuk yang berlaku secara berulang di beberapa lokasi NADI di Johor.
“(Ini) sekali gus mengekang risiko berterusan terhadap keselamatan fasiliti awam dan operasi perkhidmatan komuniti,” katanya.
Sementara itu, MCMC berkata, sebagai langkah susulan, NADI sedang melaksanakan penilaian keselamatan di pusat-pusat yang terlibat, termasuk penambahbaikan kawalan akses, pengukuhan pemantauan fizikal serta pelaksanaan program kesedaran keselamatan yang lebih bersasar.
Langkah-langkah itu, katanya, bagi mengurangkan risiko kejadian berulang, meningkatkan kesiapsiagaan petugas dan memperkukuh peranan komuniti setempat dalam pencegahan jenayah. — Edisi 9

