Oleh DR SITI NURAIN MUHMAD
RATA-RATA masyarakat Malaysia berdepan dengan isu kewangan ketika menjelang tahun baharu.
Situasi lebih kritikal pada tahun 2026 apabila perbelanjaan besar yang boleh disifatkan berturut-turut dihadapi iaitu perbelanjaan barangan persekolahan, persediaan menyambut Ramadan serta perancangan sambutan Aidilfitri hadir dalam tempoh yang singkat, sekali gus menguji keupayaan pengurusan kewangan keluarga.
Cabaran ini menjadi lebih ketara apabila kos sara hidup semakin meningkat.
Data terkini menunjukkan purata perbelanjaan isi rumah di Malaysia kini melebihi RM5,500 sebulan, dengan sebahagian besar digunakan untuk keperluan asas seperti makanan, perumahan dan pengangkutan.
Dalam masa yang sama, walaupun purata pendapatan isi rumah meningkat, peratusan untuk tabung simpanan kekal rendah, menjadikan ramai terdedah kepada tekanan aliran tunai, khususnya pada awal tahun.
Situasi ini turut mencerminkan cabaran literasi kewangan dalam kalangan masyarakat.
Berdasarkan Financial Capability and Inclusion Demand Side Survey 2024 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, Malaysia Financial Literacy and Capability Index (MYFLIC) merekodkan skor sekitar 59.1 mata, hampir tidak berubah berbanding 59.0 mata pada 2021.
Dapatan ini menunjukkan bahawa peningkatan literasi kewangan berlaku secara perlahan dan masih belum diterjemahkan sepenuhnya kepada amalan kewangan yang sihat.
Dalam erti kata lain, ramai pengguna sebenarnya tahu kepentingan tabung simpanan dan kawalan hutang, namun gagal mengamalkannya secara konsisten apabila berdepan tekanan perbelanjaan sebenar.
Perbelanjaan persekolahan bukan sekadar melibatkan yuran dan pakaian seragam tetapi turut merangkumi kelengkapan pembelajaran, aktiviti kokurikulum serta kos pengangkutan.
Bagi keluarga dengan lebih daripada seorang anak, jumlah ini boleh mencecah ribuan ringgit dalam tempoh singkat.
Apabila musim perayaan semakin hampir, kos perjalanan balik kampung pula menjadi satu lagi komitmen besar.
Perbelanjaan minyak, tol, tiket pengangkutan awam serta kos makan dan penginapan sering kali dipandang remeh, sedangkan jumlah terkumpulnya memberi kesan besar kepada bajet isi rumah. Tidak hairanlah ramai yang merasakan perbelanjaan “bocor” tanpa disedari.
Dalam menghadapi tekanan ini, corak perbelanjaan masyarakat juga berubah.
Kemudahan Beli Dahulu, Bayar Kemudian (BNPL) semakin menjadi kebiasaan, khususnya dalam kalangan pengguna muda dan keluarga berpendapatan sederhana.
Statistik menunjukkan nilai transaksi BNPL di Malaysia telah mencecah berbilion ringgit setahun dengan peningkatan ketara menjelang musim perayaan.
Walaupun BNPL menawarkan fleksibiliti jangka pendek, ia turut membawa risiko jika digunakan tanpa kawalan.
Pembayaran kecil yang kelihatan ringan boleh bertindanndan akhirnya menjejaskan komitmen bulanan.
Lebih membimbangkan, penggunaan BNPL sering digunakan bagi memenuhi kehendak untuk kelihatan mengikut trend semasa dan bukannya keperluan, sekali gus mewujudkan tabiat berbelanja melebihi kemampuan sebenar.
Menghadapi realiti ini, perancangan kewangan yang berdisiplin perlu menjadi keutamaan.
Penyediaan bajet khusus untuk awal tahun, termasuk pecahan perbelanjaan persekolahan, persediaan Ramadan dan Aidilfitri, boleh membantu isi rumah mengawal perbelanjaan dengan lebih terancang.
Selain itu, amalan menyimpan walaupun dalam jumlah kecil perlu diteruskan.
Dana kecemasan berfungsi sebagai penampan kewangan dan mengurangkan kebergantungan kepada hutang jangka pendek.
Dalam konteks perayaan pula, pendekatan sederhana dan berfokus kepada keperluan sebenar bukan sahaja menepati tuntutan agama, malah membantu mengekalkan kestabilan kewangan jangka panjang.
Ramadan dan Aidilfitri seharusnya diraikan dengan penuh kesyukuran, bukan tekanan kewangan.
Sambutan yang sederhana tidak mengurangkan makna perayaan, sebaliknya memberi ruang kepada kesejahteraan kewangan dan emosi keluarga.
Perspektif serta gaya fikir kini perlu berubah dan bukan bersifat peragaan dalam media sosial semata-mata kerana pengurusan kewangan yang cekap berupaya memberikan ketenangan emosi dalam keluarga.
Dengan perancangan awal, kawalan perbelanjaan dan penggunaan kemudahan kewangan secara berhemah, kita mampu mendepani cabaran kewangan 2026 dengan lebih tenang.
Penulis ialah Ketua Program Sarjana Muda Kewangan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu.

