27.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Nurul Izzah saran tumpu pulih ekonomi, perbaiki komunikasi

Mesti Baca

TERUSKAN usaha dalam mendepani peningkatan arus sokongan terhadap Pas dan PN.

Itu saranan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang menggesa gabungan dalam kerajaan terus fokus berikutan tamatnya PRN di enam negeri Sabtu lalu.

Nurul Izzah turut membangkitkan usaha memulihkan ekonomi serta menambah baik komunikasi kerajaan dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

“PAS telah berjaya menusuk kalbu anak-anak muda kita dan saya akui sendiri terkhilaf kerana tidak mahukan PRN diadakan bersama dengan PRU.

“Ternyata, melaksanakan kedua-duanya sekali mampu menghasilkan momentum yang perlu bagi meraih peratus keluar mengundi yang maksimum.

“Selain mendepani serta melawan politik ekstremisme dan rasuah yang terus menyengat, usaha untuk melaksana agenda reformasi, memastikan ekonomi rakyat bertambah baik, mendekati dan menjiwai anak muda serta wanita harus kita giatkan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Instagram miliknya. 

Nurul Izzah berkata, kempen PRN telah ‘merampas masa’ kerajaan daripada pelaksanaan program ekonomi seperti Ekonomi Madani, Pelan Transisi Tenaga Kebangsaan, Inisiatif Gaji Progresif serta Perancangan Industri Kebangsaan.

Menurutnya, rakyat masih risau berhubung soal ekonomi dan kos sara hidup seperti ketika penularan wabak Covid-19 walaupun statistik menunjukkan inflasi telah menurun.

Advertisements

“Saya menyertai korus desakan agar agensi komunikasi kerajaan diperkukuh supaya inisiatif, kejayaan dan usaha murni kerajaan perpaduan sampai terus kepada rakyat.

“Jangan lupa, pertarungan akan tiba lagi nanti. Oleh itu, usaha memenangi hati dan mendengar denyut jantung rakyat berjalan terus,” katanya.

Beliau turut menyuarakan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam PRN lalu, antaranya jentera dan sukarelawan.

“Setiap keputusan pasti melahirkan impak yang disusuli perasaan bercampur iaitu terkejut bersyukur dan sedih. Tapi akhrinya, sentiasa disertai proses muhasabah dan penerimaan.

“Walau dinamik pemindahan undi antara PH dan Umno mampu diperbaiki, jambatan sudah pun kita berjaya lalui bersama. Kita perlu terus melanjutkan usaha dan belajar daripada episod ini,” katanya lagi.

Terdahulu, PRN Sabtu lalu, menyaksikan gabungan PH-BN mengekalkan kemenangan di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, manakala PN kekal di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Namun begitu, daripada segi jumlah kerusi, PN menunjukkan peningkatan positif terutamanya di kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang dan Selangor, sehingga menafikan majoriti dua pertiga PH-BN di Selangor.

Malah, BN mencatatkan prestasi buruk dengan kalah semua kerusi ditandingi di Kedah dan Terengganu dan hanya menang di DUN Galas di Kelantan.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan