26.8 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Kekalahan PRN amaran akhir survival politik UMNO – Tengku Zafrul

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

KEKALAHAN besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelmarin disifatkan amaran akhir kepada soal survival politik UMNO.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengkul Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, biarpun Kerajaan Perpaduan masih menerajui Selangor namun hakikat pedih yang harus diterima adalah prestasi BN amat lemah di negeri itu.

Katanya, itu dapat dilihat apabila daripada 12 kerusi yang ditandingi BN, parti tersebut hanya menang dua kerusi sahaja, termasuk satu yang asalnya milik DAP. 

“Hakikat ini harus diamati terutamanya oleh pemimpin UMNO di Selangor. Jika keputusan PRN ini bukan amaran akhir kepada soal survival parti Melayu ini, saya tidak tahu apa lagi jenis amaran yang perlu diberi sebelum kita menyedari kita sudah ditolak. 

“Di Selangor, setelah 15 tahun, UMNO masih lagi ditolak. Ramai ahli-ahli UMNO Selangor yang berkongsi  kekecewaan dan kesedihan mereka dengan nasib UMNO di negeri ini,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Tengku Zafrul berkata, dalam senario politik hari ini, strategi, ketrampilan dan daya tarikan parti menjadi penentu kejayaan atau kegagalan. 

Advertisements

Katanya, UMNO bukan milik kelompok mana-mana kerana ia ditubuhkan untuk menyatupadukan orang Melayu dan di atas sebab itu UMNO tidak boleh terlalu radikal. 

“UMNO perlu meraikan pandangan dan pandangan ini perlu diurus dengan baik agar ia terus subur menjadi sebuah parti tempat orang Melayu berteduh.

“Hari ini hala tuju dan ideologi UMNO Selangor perlu jelas dan diterima ahli akar umbi, bukan semata-mata dilihat hanya ingin mengejar tampuk kuasa tetapi dalam masa yang sama tidak dapat memberi keyakinan kepada ahli di bawah dan juga rakyat,” ujarnya. 

Atas dasar itu, kata Tengku Zafrul, beliau berharap kepimpinan parti perlu bangkit dan memperbetulkan keadaan parti yang bukan sekadar ingin mengejar kuasa jangka masa pendek.

“kepimpinan parti perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk kembali diyakini rakyat dan juga akar umbi parti. Ini penting untuk masa hadapan dan survival parti terutamanya di Selangor. 

“UMNO Selangor juga perlu kembali mengenal pasti segmen yang perlu mereka dekati untuk diberi keutamaan dalam perjuangan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan