BUKAN satu, bukan dua tetapi 12 pengurus telah dipecat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Brendan Rodgers di Leicester sementara Chelsea memecat Graham Potter merupakan pengurus terbaharu ditunjukan pintu keluar oleh kelab masing-masing awal pagi tadi.
Rekod terbanyak pengurus dipecat semusim adalah 10 pada musim 2021/22, 2017/18, 2013/14 dan 2008/09.
Untuk rekod, pemecatan pengurus ini hanya melibatkan 10 pasukan sahaja dan ini tertinggi dalam sejarah EPL.Berikut merupakan 12 pengurus yang dipecat kelab EPL musim 2022/23:-

Scott Parker (Bournemouth)
Menjadi pengurus pertama yang ditendang keluar hanya beberapa hari selepas Bournemouth dibelasah 9-0 oleh Liverpool di Anfield.
Parker musim sebelumnya membawa skuad Cherries dipromosi ke EPL dan kini digantikan Gary O’Neil. Parker selepas itu dilantik sebagai pengurus kelab Belgium, Club Brugge namun hanya mampu bertahan 12 perlawanan sebelum dipecat.
Thomas Tuchel (Chelsea)
Cemerlang membimbing Chelsea menjuarai Liga Juara Juara Eropah (UCL) pada musim pertamanya di London namun ditunjukkan jalan keluar pada 7 September selepas tewas 1-0 kepada Dinamo Zagreb dalam aksi sulung UCL musim ini.
The Blues juga memulakan kempen liga dengan hambar selepas hanya merekodkan tiga kemenangan daripada enam perlawanan sekali gus membuatkan pemilik baharu, Todd Boehly bertindak menyingkirkan pengendali dari Jerman itu.
Bruno Lage (Wolves)
Pengurus berasal dari Portugal ini dipecat pada 2 Oktober selepas Wolves tewas 2-0 kepada West Ham. Ini susulan prestasi kurang meyakinkan dipamerkan kelab itu sejak akhir musim sebelumnya.
Di bawah Lage, Wolves dilihat sukar menjaringkan gol sekali gus mencatatkan keputusan hambar. Pengurus itu akhirnya digantikan dengan Julen Lopetegui pada November lalu.

Steven Gerrard (Aston Villa)
Cemerlang bersama Glasgow Rangers di Scotland namun lagenda Liverpool ini agak bergelut di Midlands bersama Aston Villa.
Kekalahan 3-0 kepada Fulham meletakkan Villa di tangga ke-17 selepas hanya merekodkan satu kemenangan dalam sembilan perlawanan.
Prestasi Villa kembali baik selepas Unai Emery mengambil-alih kelab.
Ralph Hasenhuttl (Southampton)
Jodoh lima tahun di Stadium St. Mary berakhir selepas pengurus dari Austria itu ditunjukkan jalan keluar.
Tewas enam daripada sembilan perlawanan bukan sesuatu yang boleh diterima dan kekalahan 4-1 kepada Newcastle menyasikan nasib Hasenhuttl berakhir bersama The Saints.

Frank Lampard (Everton)
Pelantikannya di Goodison Park dilihat peluang Lampard untuk membuktikan bakatnya sebagai pengurus selepas dipecat Chelsea musim sebelumnya.
Namun, lima kekalahan daripada enam perlawanan cukup untuk menjadi alasan kukuh pemilik, Ferhad Moshiri untuk menamatkan khidmat 12 bulan Lampard/
Kekalahan 2-0 kepada West Ham menyaksikan Lampard digantikan dengan Sean Dyche.
Jesse Marsch (Leeds United)
Marcsch dibawa masuk menggantikan pengurus lagenda, Marcelo Bielsa pada Februari 2022. Pengurus dari Amerika Syarikat ini berjaya menyelamatkan Leeds daripada penyingkiran musim lalu.
Dua kemenangan daripada 17 perlawanan menyaksikan beliau digantikan oleh bekas pengurus Watford, Javi Garcia.
Nathan Jones (Southampton)
Pengurus berbakat, Jones meninggalkan Luton Town untuk meraih pengalaman berharga di St. Mary namun segalanya tidak seindah yang disangka.
Menggantikan Hasenhuttl pada November, Jones hanya mampu bertahan sehingga Februari sahaja.
Tewas 2-1 di laman sendiri kepada pasukan yang beraksi dengan 10 pemain, Wolves bukan sesuatu yang boleh diterima apatah lagi rentetan tujuh kekalahan dalam lapan perlawanan.
Patrick Vieira (Crystal Palace)
Lagenda Arsenal ini membawa Palace menamatkan musim yang baik musim sebelumnya namun musim 2022/23 tampak kurang menjadi buat Vieira.
Jika sebelum ini beliau menggantikan Roy Hodgson yang dipecat sebelumnya, tempat Vieira kali ini digantikan semula Hodgson untuk mengharungi baki saingan musim ini.

Antonio Conte (Tottenham Hotspurs)
16 bulan yang kurang menyenangkan buat pengurus dari Itali ini.
Berjaya membawa Spurs beraksi dalam UCL musim ini namun hubungan dingin dengan pemilik kelab membuatkan masa depan beliau di Stadium Tottenham Hotspurs tidak berpanjangan.
Pengurus berusia 53 tahun itu disingkirkan pada 26 Mac lalu sementara Spurs melantik Cristian Stellini mengendalikan sementara kelab hingga akhir musim.
Brendan Rodgers (Leicester City)
Rodgers kehilangan jawatannya susulan tewas minit akhir kepada Palace di Selhurst Park Sabtu lalu.
Dengan baki 10 perlawanan dan berada di tangga ke-19 liga, pengurusan kelab memilih untuk berpisah dengan Rodgers bagi menyelamatkan kelab daripada penurunan divisyen.
Graham Potter (Chelsea)
Menjadi pengurus pertama di bawah pemilik baharu, Todd Boehly dan konsortium, Potter diberikan kontrak jangka panjang untuk membina semula The Blues.
Namun, keputusan hambar yang dicatatkan sejak menggantikan Tuchel termasuk tewas 2-0 kepada Aston Villa Sabtu lalu menyebabkan Boehly nekad menyingkirkan Potter.