26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Mafia korporat: Dua kertas siasatan dibuka sejak Mei

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka dua kertas siasatan sejak Mei tahun lepas berhubung dakwaan kes salah laku dan penyelewengan kewangan seperti yang dilaporkan dalam artikel Rahsia Mafia Korporat Malaysia, Victor Chin Boon Long Peralat Penguatkuasa Terbongkar.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, pihaknya mengesahkan PDRM menerima laporan berhubung kes itu pada 25 Mei tahun lepas.

“Laporan itu menyatakan wujud salah laku dan penyelewengan kewangan melibatkan wang berjumlah RM30.7 juta dalam pengurusan syarikat Caely (M) Sdn Bhd (Anak Syarikat Milik Caely Holdings Berhad).

“Susulan itu satu lagi laporan polis telah dibuat oleh polis pada 21 September tahun lepas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah amanah jenayah oleh ejen dan Seksyen 201 kanun sama iaitu kesalahan menyebabkan hilangnya keterangan mengenai suatu kesalahan yang dilakukan atau memberi maklumat palsu mengenai kesalahan itu bagi mengelakkan pesalah daripada hukuman.

Katanya, kes telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 27 Februari lepas untuk arahan dan keputusan lanjut.

Sebelum ini, sebuah portal tular menerusi media sosial menerbitkan artikel berhubung sekumpulan individu melakukan cubaan merampas syarikat senarai awam Caely Holdings dan sebuah syarikat lain.

Kemelut perebutan mengakibatkan kejatuhan harga saham malah ia mendakwa turut membabitkan agensi penguatkuasaan, penyiasatan, penahanan dan pembekuan akaun ahli lembaga pengarah syarikat itu. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan