25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Mekanik guna alasan tumpang tidur elak dicekup

Dia ditahan dalam operasi penguatkuasa PADK di rumah seorang janda di Kulim, awal pagi tadi.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEORANG mekanik menggunakan alasan menumpang tidur bagi mengelakkan daripada dicekup gagal apabila dia ditahan dalam operasi penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) di rumah seorang wanita di daerah itu, awal pagi tadi.

Operasi pada jam 1.42 pagi dilakukan hasil maklumat awam, telah menahan lelaki terbabit berusia 27 tahun tersebut dengan pasangannya yang juga janda kematian suami.

Pegawai Penguatkuasa PADK, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki dan wanita berusia 49 tahun itu tidak memiliki hubungan suami isteri dan bukan mahram.

“Melalui soal siasat, lelaki itu memberi alasan dia menumpang tidur di rumah wanita itu memandangkan lokasi berdekatan dengan tempat kerjanya.

“Lelaki itu memaklumkan merancang untuk berkahwin dengan wanita terbabit pada 18 Mac depan namun belum membuat permohonan.

“Melalui siasatan, kita dapati wanita terbabit tidak bekerja dan menerima belanja bulanan dari bayaran faedah arwah suaminya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan, hasil makluman awam mendapati lelaki terbabit kerap datang ke rumah wanita itu.

Tambah beliau, ketika pemeriksaan, seorang remaja perempuan yang merupakan anak kepada wanita itu didapati berada di bilik berasingan.

Sehubungan itu, Anwar Shariffudin berkata, mereka ditahan di bawah Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2014 Negeri Kedah kerana disyaki berkhalwat. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan