CUBAAN sejumlah 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk lima wanita yang baru mendarat dan bersembunyi dalam kawasan semak daripada dicekup pihak polis tidak berhasil apabila kesemua mereka di tahan berhampiran Pantai Gold Coast Morib, Banting awal pagi Jumaat.
Pegawai Pemerintah Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, kesemua PATI terbabit dikesan ketika pasukan berkenaan sedang melakukan rondaan dan pemantauan pada 7 pagi.
“Kesemua mereka dipercayai berlepas dari Tanjung Balai, Sumatera, Indonesia sekitar jam 4 pagi pada Khamis.
“Daripada siasatan mendapati, kemasukan mereka didalangi sindiket dalam dan luar negara dengan bayaran yang dikenakan dalam lingkungan RM1,500 hingga RM2,000 seorang.
“Seperti biasa mereka naik bot dari Tanjung Balai pada 17 Mac sekitar jam 5 pagi dan sampai di Malaysia pada 18 Mac jam 4 pagi.
“Ketika ditahan, mereka sedang tunggu seseorang untuk datang ambil tetapi ditemui anggota PGA yang membuat rondaan terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua PATI yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 54 tahun tersebut masuk ke negara ini menggunakan sebuah bot melalui laluan laut yang tidak diwartakan.
“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63,”katanya.- Edisi 9