31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

PRU-15: Polis buka 22 kertas siasatan PRU-15

PDRM turut mengesan sebanyak 177 ceramah diadakan tanpa permit dengan 39 ceramah diadakan di Negeri Sembilan, Perak (38) Selangor (25), Kedah (21), Kuala Lumpur (18) dan Johor (17).

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka 22 kertas siasatan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) termasuk 10 kes merosakkan bendera dan papan tanda milik parti politik dan calon di seluruh negara, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, PDRM turut menahan empat individu, semalam, untuk membantu siasatan berkaitan empat daripada 22 kertas siasatan yang dibuka.

Menurutnya, dua tangkapan dibuat di Johor, masing-masing satu kes membabitkan kes bakar mercun tanpa permit serta melakukan perbuatan khianat.

“Kes bakar mercun berlaku dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) di Jalan Bistari 4/1, Taman Yayasan, Segamat, malam kelmarin.

“Kejadian berlaku jam 10.48 malam dan suspek yang juga seorang lelaki tempatan dilihat membakar mercun jenis ‘cake repearter 138 shots’ tanpa permit di belakang pentas.

“Perlakuan itu jelas boleh membahayakan orang ramai yang menghadiri ceramah berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ujar Hazani lagi, tangkapan kedua membabitkan seorang lelaki tempatan dalam keadaan mabuk yang melakukan perbuatan khianat dan provokasi mematahkan tiang bendera Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, kejadian berlaku di Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Senai, Johor pada jam 12.15 tengah malam, kelmarin, dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Polis turut menahan seorang lelaki selepas terkesan satu gambar kertas undi memaparkan nama parti dan calon yang bertanding di Parlimen Gua Musang, Kelantan dimuat naik dalam satu kumpulan WhatsApp, kelmarin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(j)Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR 1954) dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1988,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang mengaku sebagai ‘gangster’ menjaga kawasan Air Hitam, Pulau Pinang.

“Suspek pergi ke Bilik Gerakan BN dan memberitahu dia ‘gangster’ yang menjaga kawasan Air Hitam dan segala urusan pemasangan bendera kempen perlu dibuat melaluinya serta membuat bayaran kepadanya.

“Suspek mengugut akan melakukan gangguan dan meminta pengikutnya untuk membuat kacau di kawasan itu sekiranya arahannya tidak dituruti.

“Dia ditahan untuk siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan,” katanya.

Hazani yang juga Pengarah Operasi PDRM bagi PRU-15 berkata, sebanyak 10 kertas siasatan dibuka berkaitan perbuatan khianat merosakkan bendera dan papan tanda parti.

“Dua kejadian berlaku di Kulai Jaya, Johor dan selebihnya berlaku di Sarikei, Sarawak; Beluran, Sabah; Jempol, Negeri Sembilan; Brickfields, Kuala Lumpur dan Kajang, Selangor.

“Kejadian selebihnya berlaku di Manjung, Perak; Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang dan Pendang, Kedah.

“Kejadian di Pendang membabitkan perbuatan khianat membakar dua bendera PH di tepi jalan berhampiran jejantas Sungai Baru,” katanya.

Menurutnya, statistik PRU-15 menunjukkan sebanyak 3,457 ceramah berpermit dijalankan di seluruh negara dengan Sabah, Johor dan Perak mencatat jumlah ceramah tertinggi masing-masing dengan 623, 482 dan 413 ceramah.

PDRM turut mengesan sebanyak 177 ceramah diadakan tanpa permit dengan 39 ceramah diadakan di Negeri Sembilan, Perak (38) Selangor (25), Kedah (21), Kuala Lumpur (18) dan Johor (17).

-EDISI9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan