27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

PN BEST rangkum 12 tunjang, 30 pendekatan, 234 tawaran

Turut akan mengisytiharkan cuti umum sekiranya PN memenangi PRU15.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TAWARAN Perikatan Nasional (PN) BEST yang mengandungi 12 Tunjang, 30 Pendekatan dan 234 Tawaran disifatkan sebagai tawaran mampu dan boleh dilaksanakan oleh PN sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Tawaran PN BEST diteliti dan diadakan perbincangan oleh satu Jawatankuasa Khas yang di Pengerusikan oleh Datuk Dr Radzi Jidin.

“Tawaran ini kita teliti keperluan utama rakyat dan jika PN menang pada PRU dan dapat dibentuk Kerajaan selepas 19 November ini, keutamaan kita, dalam mesyuarat pertama Kabinet ialah soal bread and butter.

“Soal ekonomi rakyat dan kos sara hidup yang meningkat, isu pendapatan, inflasi dan peningkatan harga barang juga diutamakan,” katanya dalam ucapan beliau sebelum menyempurnakan Majlis Pelancaran Tawaran PN BEST di Glenmarie, Shah Alam, Selangor, malam ini.

Untuk rekod, bagi membina ekonomi masa depan yang berdaya saing 12 tunjang utama itu merangkumi Membina Ekonomi Masa Hadapan yang Berdaya Saing; Meningkatkan Nilai dan Taraf Hidup Rakyat; Membersihkan Politik dan Tadbir Urus; Mensejahterakan Bumiputera, Orang Asli dan Semua Kaum; Memacu Pembangunan Wilayah; serta Melestarikan Alam Sekitar dan Merancakkan Pelancongan.

Seterusnya Memperkasa Belia dan Mensejahterakan Keluarga Muda; Mengoptimumkan Potensi Wanita; Membina Warga Emas Yang Aktif dan Sejahtera; Memperkasakan Orang Kelainan Upaya; Memperkasakan Peneroka FELDA; serta Mentransformasikan Petani, Penternak, Nelayan dan Pekebun Kecil.

PN juga berikrar bahawa semua inisiatif Bajet 2023, termasuk bantuan kewangan rakyat dan penjawat awam, akan dikekalkan dan ditambahbaik untuk semua lapisan masyarakat.

Antara tawaran utama PN iaitu tumpuan kepada merancak ekonomi melalui tabung khas galakan pelaburan RM5 bilion dan satu juta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, mensejahtera rakyat termasuk mewujudkan one stop centre MyPrihatin untuk semua penyampaian bantuan rakyat.

Memperkenalkan Kad Prihatin Nasional untuk akses perkhidmatan kesihatan, menyediakan perkhidmatan bas dan pusat penjagaan percuma bagi kumpulan miskin dan miskin tegar, serta skim khas bagi pekerja gig, nelayan dan pekebun kecil.

Tadbir urus yang kukuh termasuk dengan melarang sumbangan dana politik dari luar negara, memperkasa pelan antirasuah nasional dan sistem perundangan dan kehakiman syariah serta menubuhkan badan bertindak bencana alam dan perubahan iklim.

Pendidikan yang inklusif termasuk akses Internet laju dalam bilik darjah dan bilik guru, dana khas bagi sekolah tahfiz dan agama rakyat serta RM2.5 bilion peruntukan penyelenggaraan sekolah.

Mensejahterakan Bumiputera, Orang Asli dan semua kaum dilaksanakan melalui pemerkasaan agenda pembangunan Bumiputera dan mempertahankan hak semua kaum serta pembangunan sosioekonomi Orang Asli dan golongan minoriti yang menyeluruh.

Advertisements

Merapatkan jurang pembangunan Sabah dan Sarawak termasuk menyegerakan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 serta penubuhan universiti awam baharu di Sabah dan Sarawak.

Belia sebagai peneraju termasuk dengan melantik senator dalam kalangan belia dan beliawanis, diskaun 25 peratus bayaran balik pinjaman PTPTN untuk graduan kelas kedua atas dan skim perumahan mikro belia mampu sewa.

Melindungi kumpulan rentan termasuk menubuhkan Jabatan warga emas, dananita-wanita bangkit berniaga dan program latihan OKU lepasan sekolah.

Generasi Felda yang diperhebat termasuk menawarkan Wawasan Felda Baharu bagi menjamin masa hadapan generasi muda di kawasan rancangan Felda.

Bagi memastikan tawaran PN Best dilaksanakan sepenuhnya, sebuah Jawatankuasa Khas dianggotai pakar akan ditubuhkan.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyatakan PN akan mengisytiharkan cuti umum sekiranya memenangi PRU15.

“Cuti pada Ahad (20 November) bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor dan Isnin (21 November) bagi negeri lain.

“Tawaran ini tiada dalam Tawaran PN Best, saya tahu keinginan rakyat untuk mengundi amat tinggi. Ini termasuk pengundi luar yang terpaksa mengundi di kampung halaman atau di tempat lain daripada tempat tinggal mereka.

“Jadi saya nak umumkan, jika PN menang dalam pilihan raya pada 19 November nanti, kita akan isytihar cuti umum pada Ahad bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, dan Isnin bagi negeri lain.

“Ini akan membolehkan pengundi luar keluar mengundi tanpa perlu memohon cuti pada hari Ahad atau Isnin,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Sultan Nazrin berkenan letak batu asas IPTTI, URCC UPSI

SULTAN Perak, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Perletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI)...

Lagi Artikel Berkaitan