
PERIKATAN Nasional (PN) hari ini sedang berdepan krisis yang jauh lebih berbahaya daripada kehilangan seorang pengerusi.
Apa yang berlaku pasca-peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah keretakan asas kepimpinan, hilangnya disiplin gabungan dan perebutan dominasi kuasa antara parti komponen, khususnya melibatkan Pas dan Bersatu.
Isu pokoknya mudah. PN gagal mencapai kata sepakat tentang siapa yang berhak memimpin. Bermula di sebuah negeri sekecil Perlis, kini semakin membesar sehingga ke peringkat nasional.
Namun di sebalik kebuntuan itu tersimpan satu persoalan yang lebih besar iaitu “siapakah sebenarnya pemilik PN?”
Muhyiddin mengambil pendirian berprinsip apabila menegaskan jawatan Pengerusi PN mesti diisi oleh Presiden parti komponen.
Ia sejajar dengan semangat asal penubuhan PN yang dibina atas kesetaraan.
Akan tetapi pendirian tersebut terhenti apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menolak jawatan tersebut atas alasan kesihatan, manakala Gerakan dan MIPP tidak memiliki kekuatan politik yang mencukupi untuk memimpin sebuah gabungan nasional.
Kebuntuan ini mendorong Muhyiddin mengemukakan cadangan rasional dengan memansuhkan jawatan Pengerusi dan menggantikannya dengan Majlis Presiden PN.
Ini bermakna PN akan dipimpin secara bersama oleh pucuk pimpinan parti komponen.
Cadangan ini sepatutnya dilihat sebagai usaha menyelamatkan gabungan, namun Pas menolaknya mentah-mentah, malah mendakwa keputusan itu dibuat tanpa pengetahuan mereka.
Di sinilah krisis sebenar PN terdedah. Ia bukan soal struktur, tetapi soal keinginan menguasai.
Pas kini melihat dirinya sebagai ‘abang besar’ dalam PN berasaskan jumlah kerusi Parlimen dan keahlian yang dimiliki mereka.
Namun dalam politik gabungan, kekuatan angka tidak memberi lesen untuk membuat keputusan unilateral.
Tindakan memanggil Mesyuarat Khas PN tanpa menjemput Muhyiddin — walaupun atas alasan beliau sudah meletak jawatan — memperlihatkan satu bentuk politik penyingkiran yang berbahaya.
Ia menghakis kepercayaan dan mematikan semangat kolektif yang menjadi asas kepada PN.
Pertikaian terbuka antara Pas dan Bersatu hari ini adalah simptom kepada masalah yang lebih mendalam iaitu PN tidak lagi mempunyai pusat graviti kepimpinan.
Setiap parti bergerak mengikut kepentingan sendiri, bukan kepentingan gabungan.
Dalam keadaan ini, PN bukan sahaja lemah menghadapi lawan, malah berisiko menjadi mangsa perpecahan dalaman sendiri.
Lebih membimbangkan, krisis ini berlaku ketika PN sepatutnya mempersiapkan jentera menghadapi kemungkinan PRN Melaka yang dijangka diadakan pertengahan tahun ini.
Tanpa kepimpinan jelas dan hala tuju bersama, PN akan turun ke medan pilihan raya sebagai gabungan yang retak — mudah diserang, sukar diyakini.
Sejarah politik negara membuktikan satu pengajaran konsisten bahawa sesebuah gabungan politik tidak tumbang kerana musuh di luar, tetapi runtuh akibat pertelingkahan dalaman.
Jika PN gagal menamatkan krisis ini dengan segera dan berprinsip, pembubarannya bukan lagi satu spekulasi tetapi satu kemungkinan yang semakin nyata. – Edisi 9

