JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu pusat kecantikan di empat lokasi berasingan di sekitar Lembah Klang dan menahan 19 wanita warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.
Operasi yang dilakukan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas jabatan itu pada Selasa lalu membabitkan tiga lokasi di Kuala Lumpur dan satu di Puchong, Selangor.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, serbuan dilakukan setelah pihaknya setelah melakukan risikan selama dua minggu hasil maklumat yang diterima.
“Pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi premis perniagaan yang merupakan pusat kecantikan dan berjaya menahan 12 perempuan warganegara Filipina, enam perempuan Vietnam dan seorang perempuan Mongolia berusia di antara 22 hingga 48 tahun.
“Semakan awal mendapati, tiga perempuan Vietnam yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS), perempuan Mongolia pula memiliki Pas Pelajar, 12 perempuan warganegara Filipina memiliki Pas Pembantu Rumah dan warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang Pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, pasukan operasi telah menyita sembilan naskhah pasport Filipina, tiga pasport Vietnam, satu pasport Mongolia, lima unit telefon bimbit, pengimbas bayaran QR, buku rekod pekerja dan buku urusniaga.
Turut disita lesen perniagaan, dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan wang tunai berjumlah RM1,500 dipercayai hasil kegiatan yang tidak bermoral.
“Modus operandi premis ini adalah dengan menggunakan lesen yang sah sebagai pusat kecantikan dengan memaparkan papan tanda dan perkhidmatan rawatan kecantikan bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kegiatan ini tidak diiklankan secara terbuka sebaliknya dipromosikan melalui aplikasi Telegram dan Whatsapp kepada pelanggan yang terpilih sahaja,” katanya.
Beliau berkata, pelanggan yang hadir akan ditawarkan perkhidmatan urutan biasa dan kod rahsia akan digunakan bagi mendapatkan perkhidmatan tambahan.
Katanya, ruang dalaman premis itu pula telah diubah suai dan dilengkapi dengan sistem keselamatan yang ketat.
“Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM180 hingga RM250 dan dipercayai telah beroperasi sejak Mac tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, kesemua warganegara asing yang ditahan dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Manakala tujuh lelaki warga tempatan diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan. — Edisi 9

