UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh pembangunan insan berteraskan nilai jiwa, akhlak dan kecemerlangan holistik sebagai tunjang utama pencapaiannya selari dengan kedudukan universiti itu yang kini berada dalam kelompok 101–125 terbaik dunia menerusi Times Higher Education (THE) World University Rankings 2026.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kejayaan tersebut bukan sekadar pencapaian akademik dan penyelidikan, sebaliknya didorong oleh pembinaan Jiwa UPSI yang menyeluruh meliputi ketakwaan, keinsanan, kekeluargaan, kecemerlangan serta jiwa pendidik dalam kalangan warga universiti.
“Pencapaian global UPSI hari ini adalah hasil keseimbangan antara prestasi dan jiwa. Kegemilangan universiti tidak hanya diukur melalui ranking, tetapi bagaimana nilai kemanusiaan, adab dan akhlak menjadi nadi kepada setiap inisiatif yang digerakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Aspirasi BITARA 3.0 @ Jiwa UPSI di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim, Perak semalam.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof Dr. Suriani Abu Bakar dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin.
Menurut Md Amin, kerangka BITARA yang merangkumi Bakat Unggul, Inovasi dan Penyelidikan, Transformasi Digital, Adab dan Akhlak, Revolusi Ekosistem serta Adaptasi Global menjadi pemacu strategik UPSI dalam memperkukuh daya saing universiti di peringkat nasional dan antarabangsa menjelang 2026.
Di bawah teras Bakat Unggul, katanya, UPSI memperkenalkan tujuh inisiatif utama termasuk pembangunan Model Warga UPSI berteraskan nilai budiman dan inovatif, pelaksanaan Leadership Summit @ Oxford University, penambahbaikan sistem pengambilan staf, pelaksanaan Expert@UPSI 2.0, Smart Campus 2.0, serta sistem kenaikan pangkat menerusi i-Promote Fasa 2.
Sementara itu, teras Inovasi dan Penyelidikan menyaksikan pelaksanaan enam inisiatif strategik, antaranya program 4P bernilai RM35 juta, pelaksanaan Industry on Campus (IOC), penubuhan Pusat Hubungan dan Jaringan Industri, inisiatif Karya@UPSI dengan sasaran 1,000 penerbitan Scopus serta pelaksanaan Research Booster Initiatives bagi meningkatkan produktiviti akademia.
Dalam mendepani era pendigitalan, UPSI memberi penekanan kepada Transformasi Digital menerusi tujuh inisiatif utama termasuk AI4ALL, penubuhan Honor AI Lab, pembangunan Data Warehouse, penaiktarafan infrastruktur rangkaian melalui UPSI NetX, pengukuhan keselamatan siber serta pelaksanaan pelbagai platform digital melibatkan pemasaran dan perkhidmatan kampus.
Beliau berkata, teras Adab dan Akhlak pula menjadi elemen penting pembentukan JIWA UPSI dengan pelaksanaan 10 inisiatif, termasuk 5 Minutes Adab Talk, PLKN 3.0, Dapur Siswa MADANI, Mahasiswa Prihatin, Student Well-Being Index (STIDEX) serta pelaksanaan Counselor on Wheel bagi menyokong kesejahteraan pelajar secara menyeluruh.
“Kesemua inisiatif ini disatukan dengan nilai jiwa supaya warga UPSI bukan sahaja cemerlang dari sudut intelek, malah berakhlak, beradab serta berperanan sebagai agen perubahan masyarakat,” katanya.
Mengulas teras Revolusi Ekosistem, beliau berkata UPSI sedang melaksanakan 27 inisiatif berskala besar termasuk penjanaan pendapatan universiti, projek penjimatan tenaga solar, pembangunan kampus baharu, pusat komuniti dan kediaman pelajar, infrastruktur latihan berprestasi tinggi serta inisiatif kampus rendah karbon menjelang 2030.
Selain itu, teras Adaptasi Global turut diperkasakan melalui sembilan inisiatif antaranya sasaran 2,200 pelajar antarabangsa, penganjuran Global Educator Award 2026 melibatkan 100 negara, pelaksanaan program pendidikan fleksibel serta peluasan bilik darjah global.
Md Amin berkata, keseluruhan aspirasi BITARA itu disokong oleh penghayatan Jiwa UPSI yang merangkumi Jiwa Ketaqwaan, Keinsanan, Kekeluargaan, Kecemerlangan dan Jiwa Pendidik, diterjemahkan menerusi pelbagai program kebajikan, kesejahteraan, kerohanian dan pembangunan profesional warga universiti.
“Jiwa UPSI adalah roh kepada setiap dasar dan pencapaian universiti. Inilah kekuatan sebenar UPSI dalam melahirkan graduan pendidik serta warga universiti yang seimbang, berdaya saing dan relevan dengan tuntutan global,” ujarnya. — Oleh BAZLI RAZAK/Edisi 9

