MAJLIS Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyokong langkah kerajaan merangka peraturan baharu bagi meningkatkan penguatkuasaan larangan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan pendaftaran asing di stesen-stesen minyak.
Pengerusi MPPN, Mohd Khair Ngadiron berkata, usaha tersebut adalah langkah penting bagi memastikan subsidi petrol RON95 yang diperuntukkan kerajaan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat negara ini, selaras dengan prinsip keadilan sosial dan perlindungan pengguna.
Beliau berkata, MPPN mengambil maklum penjelasan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali bahawa kerangka perundangan sedia ada melalui Peraturan 12A ketika ini hanya melibatkan larangan terhadap penjualan yang membolehkan tindakan diambil terhadap stesen minyak semata-mata.

“Sehubungan itu, cadangan pengenalan undang-undang baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang meliputi larangan bukan sahaja terhadap penjualan tetapi juga pembelian merupakan langkah yang wajar bagi memperkukuh penguatkuasaan serta menangani ketirisan subsidi,” katanya.
Mohd Khair berkata, penyaluran subsidi tanpa kawalan yang berkesan boleh membuka ruang bukan sahaja ketirisan sumber awam tetapi juga penyalahgunaan oleh pihak tidak layak serta beban fiskal yang akhirnya menjejaskan kepentingan pengguna domestik.
“Langkah ini juga dilihat sebagai usaha strategik untuk memastikan pasaran bekalan petrol kekal adil, telus dan mampan,” kata beliau.
Katanya, sebagai badan penasihat utama kepada kerajaan dalam hal ehwal pengguna, MPPN akan terus menyokong dasar dan inisiatif yang
melindungi hak pengguna tempatan, memperkukuh tadbir urus subsidi dan meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan.
Beliau berkata, MPPN turut menggalakkan semua pihak termasuk pengusaha stesen minyak dan pengguna untuk memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara. — Edisi 9

