31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Negara perlu kerajaan yang kuat, bela nasib rakyat – Muhyiddin

Kita tidak boleh membenarkan walau seinci pun daripada negara ini diperintah semula oleh mereka yang tidak amanah dan mengamalkan rasuah.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

NEGARA memerlukan sebuah kerajaan yang kuat yang dapat membela nasib rakyat.

Oleh itu, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah menjadi tanggungjawab para pengundi untuk keluar mengundi pada 19 November ini, waima apa jua situasi pada hari itu.

Menurut beliau, PN ada kemampuan untuk menguruskan negara dan berikrar untuk membentuk kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil seperti mana terkandung dalam Tawaran Perikatan Nasional PRU-15.

“Antara tawaran utama PN adalah memperkasa Felda dan membantu golongan miskin termasuk penoreh getah dengan menetapkan harga lantai getah yang munasabah dan berpatutan.

“Jaminan kita seperti terkandung dalam Tawaran Perikatan Nasional adalah menolak rasuah dalam pentadbiran selaras janji PN dalam salah satu tunjang tawaran kita iaitu memastikan tadbir urus yang baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini.

Terdahulu, Muhyiddin hadir di program Kempen Calon P.011 Pendang, Kedah malam tadi.

Beliau berterima kasih kepada warga Pendang yang datang begitu ramai, yang secara tidak langsung menunjukkan mereka sudah bersedia untuk mengundi calon PN daripada Pas, Datuk Awang Hashim.

“Pas dan Bersatu adalah pengasas pembentukan PN yang kita lihat hari ini dan saya tidak akan lupa akan peranan dan sumbangan Pas.

“Saya jelaskan kepada ribuan pengundi yang hadir termasuk ahli-ahli UMNO, adalah amat penting untuk mereka menyelamatkan negara dengan mengundi PN walaupun mereka mungkin masih berat hendak meninggalkan UMNO,”katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat 234 tawaran dalam Tawaran Perikatan Nasional dan dijamin akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun jika diberi mandat untuk membentuk kerajaan.

Katanya, jika PN menang, pihaknya akan membentuk satu jawatankuasa khas dan bebas untuk memastikan semua yang kita janjikan ditunaikan.

“Sama-samalah kita berdoa agar dalam masa dua minggu ini akan ada gelombang kebangkitan untuk membersihkan negara ini daripada segala kekotoran dan kebobrokan,”katanya.

Ujar Muhyiddin, usaha untuk memulihkan negara masih belum tercapai sepenuhnya.

“Oleh itu, kita tidak boleh membenarkan walau seinci pun daripada negara ini diperintah semula oleh mereka yang tidak amanah dan mengamalkan rasuah,”katanya.- Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan