30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Ismail Sabri senaraikan sebab beliau lebih layak jadi PM

Beliau turut berkongsikan kejayaan dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19 sehingga diiktiraf sebagai negara terbaik dalam menyelesaikan isu pandemik tersebut.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BERDEPAN dengan nama-nama yang tidak asing lagi sebagai calon Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai sebab kenapa beliau lebih layak menerajui negara.

Keyakinan beliau itu dinyatakan semasa ditemu bual dalam program Ruang Bicara Khas Kestabilan & Kemakmuran Bersama Perdana Menteri yang disiarkan di beberapa stesen televisyen utama, malam ini.

Beliau berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah membuktikan kejayaan sebagai Perdana Menteri manakala Tun Dr Mahathir Mohamad yang mentadbir selama 22 bulan tetapi digulingkan oleh parti gabungan mereka sendiri. 

“Tan Sri Muhyiddin Yassin juga 18 bulan tumbang. Saya walaupun 14 bulan tak ditumbangkan sesiapa. Jadi saya nak bagi tahu kalau 14 bulan saya selesaikan isu yang timbul, bagi saya lima tahun banyak perkara yang boleh saya lakukan,” katanya dengan penuh keyakinan.

Untuk rekod, Anwar merupakan calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU-15 manakala Dr Mahathir pula dicalonkan oleh Gerakan Tanah Air (GTA) sementara Muhyiddin oleh Perikatan Nasional (PN).

Semua calon tersebut kecuali Anwar, mempunyai pengalaman sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut berkongsi kejayaan dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19 sehingga diiktiraf sebagai negara terbaik dalam menyelesaikan isu tersebut.

“Saya ambil kerajaan dalam waktu yang amat sukar Covid-19. 24,000 kes seharian, ratusan meninggal dunia. Setiap hari katil di unit rawatan rapi (ICU) hampir tak mencukupi.

“Ekonomi dalam keadaan teruk kerana sektor ekonomi ditutup hampir sepenuhnya, perebutan kuasa ketika itu tapi cuba lihat 14 bulan apa pencapaian yang telah saya lakukan,” katanya.

Dari segi ekonomi, menurut beliau, semalam Bank Negara mengisytiharkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2022 (S3 2022) mencapai pertumbuhan 14.2 peratus.

Menurutnya, ianya lebih kukuh berbanding 8.9 peratus yang dicatat pada suku kedua tahun lalu.

Selain itu, katanya, kadar pengangguran juga telah menurun kepada 3.6 peratus manakala dari segi peratusan itu kurang empat peratus dikategorikan sebagai guna tenaga penuh.

“Begitu juga dari segi pelaburan asing dan sebagainya… pemborongan dan peruncitan meningkat dengan tinggi,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan