Saturday, June 13, 2026

PN berjaya muktamadkan pembahagian kerusi

PN di setiap negeri akan mengumumkan keputusan tersebut beberapa hari lagi.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERIKATAN Nasional (PN) telah berjaya memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti-parti komponen dengan sikap toleransi dan saling hormat-menghormati.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Presiden PN yang berlangsung malam tadi.

Sehubungan itu, beliau berkata, PN akan mengumumkan senarai penuh calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) beberapa hari lagi.

“Saya merasa bangga dan bersyukur atas sikap toleransi dan saling hormat-menghormati setiap parti komponen dalam perbincangan tersebut.

“Insya-Allah dalam beberapa hari lagi Perikatan Nasional (PN) di setiap negeri akan mengumumkan keputusan tersebut,” katanya dalam Facebook hari ini.

PN sebelum ini dilapor tidak akan bertanding di kesemua 222 kerusi Parlimen sebaliknya hanya membabitkan sejumlah kerusi yang disifatkan cukup untuk membolehkannya membentuk kerajaan Persekutuan.

Sehingga kini dua kerusi telah diumumkan iaitu Parlimen Masjid Tanah yang akan mempertaruhkan penyandangnya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Parlimen Putrajaya oleh Datuk Dr Radzi Jidin.

Dalam PRU-14 lalu Mas Ermieyati menang di Masjid Tanah ketika bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum meninggalkan parti itu selepas BN gagal membentuk kerajaan Persekutuan.

Manakala Radzi pula tewas di tangan Tan Sri Annuar Musa (BN) ketika mereka bertanding di Parlimen Ketereh. Bagaimanapun, Radzi dilantik sebagai Senator dan kemudian menerajui Kementerian Pendidikan.

PN terdiri daripada Bersatu, Pas dan Gerakan di Semenanjung serta STAR dan SAPP dari Sabah.

-EDISI9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan